Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis Selangor melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 1,991.26 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM42.26 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelupusan berkenaan membabitkan 9,142 kertas siasatan dari tahun 2016 hingga 2023.

"Antara dadah yang dilupuskan adalah methamphetamine, heroin, ketamine, pil estacy dan erimin 5 yang mana pelupusan dilakukan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah yang sudah selesai.

"Kesemua dadah yang dilupuskan ini seberat 1,991.26 kg dianggarkan bernilai RM42.26 juta.

"Pelupusan bahan kimia dan dadah ini akan dilaksanakan oleh syarikat Cenviro Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. Pihak polis juga akan turut berada di lokasi pelupusan bagi memastikan proses berkenaan lancar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

HUSSIEN (kiri) menunjukkan barang kes melibatkan pelbagai jenis dadah serta bahan kimia yang akan dilupuskan pada Sidang Media Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Selangor 2023 di IPK Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HUSSIEN (kiri) menunjukkan barang kes melibatkan pelbagai jenis dadah serta bahan kimia yang akan dilupuskan pada Sidang Media Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Selangor 2023 di IPK Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menahan 18,911 orang yang terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 609 pengedar disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM306.31 juta turut dirampas bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini antaranya syabu (2,244.12 kg), ganja (407.98kg), heroin (169.19kg), ketamin (129.42kg), kokain (105.09kg), heroin base (26.06kg), pil estacy (99,550 biji), daun ketum (825.53kg), cecair ketum (5,525.08kg) dan candu masak (8.93 gram).

"Pada masa sama, JSJN Selangor juga berjaya menumpaskan 29 sindiket pengedaran dadah termasuk empat kes makmal dadah haram di negeri ini," katanya.

Hussein berkata, polis juga menyita aset pengedar dadah membabitkan wang tunai, kenderaan, hartanah, bangunan dan rumah bernilai RM11.43 juta bagi tempoh yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 1:43 PM