FISIOTERAPI bidang penting dalam penjagaan kesihatan.
FISIOTERAPI bidang penting dalam penjagaan kesihatan.
FISIOTERAPI bidang penting dalam penjagaan kesihatan.
FISIOTERAPI bidang penting dalam penjagaan kesihatan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Dalam industri penjagaan kesihatan, fisioterapi bukan bidang yang asing dalam masyarakat hari ini, tetapi ramai yang masih berpendapat fisioterapi adalah sesuatu yang kurang penting walaupun ia dapat mempercepatkan proses pemulihan mereka.

Fungsi utama fisioterapi adalah membantu pesakit untuk sembuh dan kembali kepada keadaan asal dari segi fungsi pergerakan fizikal dan kesihatan secara keseluruhan.

Pesakit yang melalui trauma fizikal memerlukan sesi fisioterapi bagi membantu individu terbabit kembali kepada keadaan asal di samping menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal yang baru.

Contohnya, sesi fisioterapi dapat membantu pesakit untuk belajar menggunakan anggota badan ketika sebahagian daripada anggota yang memerlukan rawatan tidak dapat digunakan atau selepas kehilangan sebahagian daripada anggota asal.

Program Koordinator Sarjana Muda (Kepujian) Fisioterapi Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya TS Veeragoudhaman berkata, dengan tunjuk ajar dan penggunaan anggota yang betul ia dapat membantu pesakit menjalankan aktiviti harian mereka tanpa bantuan penjaga selain dapat menaikkan tahap keyakinan mereka secara tidak langsung.

Menurutnya, bidang fisioterapi ialah pengkhususan kepada sistem otot untuk membantu pesakit yang mempunyai kecederaan atau prosedur pembedahan pada struktur tulang mereka untuk kembali berfungsi seperti sediakala.

“Kejadian tidak diingini boleh berlaku jika otot digunakan secara berterusan, sendi lemah, isu postur dan pergerakan sendi dan tulang. Ahli fisioterapi boleh membantu mengenal pasti pergerakan berisiko tinggi dan menawarkan pengubahsuaian tingkah laku pembetulan untuk mengelakkan kecederaan masa depan.

“Bidang fisioterapi berkembang di Malaysia, namun kekurangan kesedaran menjadi isu utama apabila orang ramai tidak sedar kepentingannya untuk mempercepatkan proses pemulihan. Ia faktor utama pelajar tidak memilih fisioterapi sebagai program pilihan mereka.

“Sebenarnya, fisioterapi ialah bidang yang mempunyai peluang pekerjaan yang luas. Ia bukan saja diperlukan di hospital kerajaan, malah lebih banyak tempat yang memerlukan ahli fisioterapi seperti pusat jagaan orang tua dan hospital swasta. Bidang ini mempunyai permintaan yang tinggi daripada industri di samping menawarkan pendapatan yang lumayan,” katanya.

Dia berkata, kekangan yang dihadapi dalam bidang fisioterapi ialah tenaga kerja apabila generasi muda masih tidak sedar kepentingan ahli fisioterapi dan pembangunan masa depan dalam bidang ini.

Ia sekali gus katanya, menjurus kepada kekurangan pakar dalam negara untuk merawat pesakit yang mempunyai komplikasi yang lebih rumit daripada kebiasaan.

Veeragoudhaman berkata, dalam bidang fisioterapi, ramai pesakit bergantung kepada alat bantuan untuk membantu mereka menjalani rawatan namun banyak pusat fisioterapi yang kekurangan kelengkapan bagi memudahkan proses rawatan menyebabkan kesesakan dalam senarai menunggu pesakit untuk menjalani rawatan.

“Isu ini dapat diselesaikan apabila pusat fisioterapi di pedalaman serta tenaga kerja berkepakaran untuk merawat pesakit dengan kemahiran mereka mencukupi. Penyediaan kemudahan ini dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan orang awam di pedalaman, sekali gus memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan fisioterapi.

“Ramai orang berpendapat fisioterapi sekadar memberi khidmat urut kepada pesakit, sebaliknya ia lebih daripada itu. Di CUCMS, kami memberi penekanan untuk latihan berasaskan bukti dan penemuan bagi membuka peluang untuk pembangunan profesional yang berterusan,” katanya.

CUCMS menawarkan program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Fisioterapi di samping kelengkapan infrastruktur bagi membantu pelajar menjalani proses pembelajaran yang holistik. Ia juga berperanan untuk meluaskan prospek karier kepada pelajar selari misi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 1:30 PM