TANGKAP layar dari video tular menunjukkan seorang daripada wanita berkenaan.
TANGKAP layar dari video tular menunjukkan seorang daripada wanita berkenaan.
Agensi

BANDA ACEH: Tindakan sembilan wanita yang berpakaian menunjukkan bentuk badan dan ada juga tidak bertudung ketika berbasikal di sini, memakan diri selepas ditahan pihak berkuasa agama, Isnin lalu.

Wanita berkenaan ditahan Unit Polis Perkhidmatan Awam dan Wilayatul Hisbah Kota Banda Aceh selepas mendapat arahan daripada Datuk Bandar Banda Aceh, Aminullah Usman.

Tindakan pantas itu berjaya mengesan wanita berkenaan yang melanggar norma dan syariat Islam.

Ketua Perhubungan Awam Pemerintah Kota Banda Aceh, Irwan, mengesahkan kumpulan wanita yang menyebabkan kejadian itu ditahan Pasukan Banda Aceh Perkhidmatan Awam dan Wilayatul Hisbah.

"Semua yang ditahan diminta untuk memberikan keterangan lanjut berhubung tindakan mereka tidak mematuhi syariat Islam dan memohon maaf," katanya seperti dilaporkan Tribunnews.com pada Isnin.

Irwan berkata, selepas ditahan, wanita berkenaan memaklumkan mereka menyesali perbuatan berkenaan dan berjanji tidak mengulanginya.

Selain permohonan maaf, Irwan berkata, wanita terbabit akan diberikan bimbingan dan nasihat sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, mereka juga akan mendapat bimbingan daripada Ustaz Ridwan Ibrahim bagi mendalami Islam dengan lebih baik.

Sebelum ini, tular foto dan video sekumpulan wanita berpakaian baju merah jambu dengan ada yang tidak memakai tudung di media sosial.

Ia mengundang kemarahan penduduk Banda Aceh selain dikecam warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:00 AM