LEICESTER, Watford, Palace buktikan mereka bukan lagi pasukan belasahan.
LEICESTER, Watford, Palace buktikan mereka bukan lagi pasukan belasahan.

Kali terakhir skuad bukan pilihan berada di kemuncak Liga Perdana Inggeris sewaktu Krismas adalah pada 1997.

Ketika itu posisi berkenaan menjadi milik pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest yang dikendalikan Brian Clough.

Dalam tempoh lima bulan selepas itu mereka gah bergelar juara malah tidak langsung melepaskan kedudukan di puncak hingga hari terakhir.

Hampir empat dekad kemudian Leicester City berhasrat untuk mengulangi pencabar mereka di East Midlands.

John Robertson boleh diibaratkan seperti Riyad Mahrez, manakala Jamie Vardy bagaikan bayangan Tony Woodcock.

Forrest perlu menjuarai liga ketika itu demi memastikan tempat mereka dalam Piala Eropah.

Leicester bagaimanapun lebih berpeluang menduduki empat tangga teratas dan Liga Juara-Juara sebagai bukti kebangkitan menakjubkan mereka.

Skuad Foxes yang pintar di bawah kendalian Claudio Ranieri bukan satu-satunya pasukan yang berselindung di sebalik gelaran ‘underdog’ semata-mata.

Setahun lalu, dua daripada tiga pasukan baru, Leicester salah satunya berada dalam zon penyingkiran pada Krismas. Yang lain juga ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.

Kali ini Watford berada di tangga ketujuh, Bournemouth ke-14 dan Norwich ke-16 dan ketiga-tiga pasukan itu pernah menewaskan Liverpool, Chelsea dan Manchester United masing-masing bulan lalu.

Kemudian, lihat pula Crystal Palace. Skuad yang diberi jolokan Eagles itu kini melayang ke tangga ke­enam dan bakal mengancam skuad lain yang berwibawa.

Empat pasukan teratas musim lalu sudahpun tewas 20 kali musim ini, lebih enam daripada tahun lalu.

Sewaktu Leicester yang diletakkan kebarangkalian 1:2,000 untuk bergelar juara pada Ogos, menewaskan juara bertahan Chelsea minggu lalu sekali gus melebarkan jurang di antara kedua-dua pasukan kepada 20 mata.

Begitupun ketika kempen menakjubkan ini semakin matang, elemen kejutan tidak lagi menghairankan apabila Watford dengan mudah menewaskan Liverpool menjadi sesuatu yang boleh dipercayai.

Skuad ‘underdog’ ini mula menyalak, menggigit dan mengasari pasukan lebih besar.

Sewaktu skuad Chelsea yang dilanda krisis berperang dengan Jose Mourinho, Leicester pula berjuang demi Ranieri.

Vardy dan Mahrez mengumpul 28 jaringan di antara mereka, enam gol melebihi apa yang dikumpul Manchester United.

Watford berada di tangga ketiga dari aspek prestasi hasil empat kemenangan berturut-turut dan Odion Ighalo menjaringkan gol dalam setiap perlawanan itu untuk 12 jaringan peribadi.

Taburan gol Palace lebih seimbang, Yohan Cabaye mendahului dengan lima gol dan mempunyai pertahanan hebat di mana 89 hadangan adalah yang tertinggi dalam liga.

Jika anak buah Alan Pardew tidak tewas kepada West Ham dan Sunderland, mereka mampu menjadi pencabar terdekat Leicester.

Hakikatnya, aksi serangan balas Palace menjadikannya antara pasukan terbaik apabila menang 11 daripada 16 perlawanan di bawah kendalian Pardew pada 2015, termasuk kemenangan ke atas Chelsea dan Liverpool.

Kejayaan mendapatkan Cabaye dianggap sebagai tindakan cemerlang namun pemain Perancis itu membuktikan dirinya lebih daripada sekadar perancang permainan.

Malah kejayaannya melakukan 60 sekatan dan 74 terjahan hanya diatasi seorang pemain iaitu N’Golo Kante dari Leicester.

Pemain berusia 24 tahun itu adalah pemain tengah terbaik divisyen itu dan Ranieri percaya dia mampu menjadi antara pemain ternama Eropah.

Ia sesuatu yang sukar untuk dinafikan kerana dia mempunyai tenaga, bersikap agresif dan sering mencipta peluang.

Majoriti rakan sepasukannya tidak pernah menerima pujian seperti itu namun merekalah yang memberi ruang kepada Kante, Mahrez dan Vardy untuk menyerlah.

Kunjungan ke Liverpool dan kedatangan Manchester City pada Krismas mungkin menjejaskan pesta Leicester namun mereka juga pernah mengetepikan Chelsea dan Everton.

Sekiranya Leicester kekal di puncak menjelang 2016, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan kembali gelaran ‘underdog’.

Ini kerana ‘underdog’ disifatkan sebagai pencabar yang dijangka mempunyai peluang kecil untuk memenangi perlawanan atau pertandingan.

Leicester, seperti mana Palace dan Watford juga sudah memberikan aksi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:02 AM