TUN Ahmad Sarji (kiri) Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (kanan) menunjukkan replika agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) di Menara PNB. FOTO Sairien Nafis
TUN Ahmad Sarji (kiri) Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (kanan) menunjukkan replika agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) di Menara PNB. FOTO Sairien Nafis
Oleh Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM10.41 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding dengan RM9.98 bilion yang dibayar pada tahun lalu manakala peruntukan bonus adalah sebanyak RM451.73 juta.

"Pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.87 juta pemegang unit yang melanggan 142.54 bilion unit ASB," katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASB di sini, hari ini.

Sehingga 23 Disember 2015, jumlah pendapatan kasar ASB adalah sebanyak RM10.06 bilion dengan pengiraan agihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2015 manakala pengiraan bonus dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh 10 tahun untuk tempoh dari 2006 sehingga 2015.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing di ibu pejabat, pejabat-pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 4 Januari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 1:44 PM