Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) anak syarikat Perbadanan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan 6.45 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan tahun ini membabitkan pembayaran RM107.57 juta iaitu peningkatan 7.28 peratus berbanding RM100.27 juta yang dibayar pada tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran berkenaan akan memberi manfaat kepada 1.26 juta pemegang unit yang melanggan 1.66 bilion unit ASN.

"Sehingga 22 Disember 2014, ASN memperoleh pendapatan kasar RM138.99 juta yang mana keuntungan saham menyumbang 64.5 peratus, dividen pelaburan 28.1 peratus dan selebihnya 7.4 peratus diperoleh daripada lain-lain pendapatan.

"Pengiraan pengagihan pendapatan ASN berdasarkan pegangan unit pada hari terakhir tahun kewangan ASN, 31 Disember 2014," katanya pada pengumuman ASN untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 11:30 AM