MIMPI tidak layak bertanding pada AIM23 kerana lagu terbabit tidak diterbitkan dalam tempoh syarat yang ditetapkan.
MIMPI tidak layak bertanding pada AIM23 kerana lagu terbabit tidak diterbitkan dalam tempoh syarat yang ditetapkan.
Najiy Jefri

KEHANGATAN Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 yang akan diadakan secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam esok selepas lima tahun menyepi sudah terpalit kontroversi apabila syarikat rakaman FMC Music mempertikaikan keputusan juri susulan lagu Mimpi nyanyian Haqiem Rusli gagal menembusi mana-mana kategori.

Mimpi ciptaan Haqiem sendiri manakala lirik oleh Datuk A Aida dihantar untuk dipertandingkan dalam enam kategori iaitu Lagu Pop Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Susunan Muzik Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Runut Bunyi Terbaik (OST) Di Dalam Drama dan Muzik Video Terbaik.

Kegagalan lagu yang pernah menduduki tempat ketiga Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 itu menyebabkan FMC Music memohon penganjur, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) agar menyemak semula senarai calon akhir.

Tampil menjelaskan konflik yang tercetus, Ketua Juri AIM23, Datuk Mokhzani Ismail berkata, jawatankuasa AIM 23 tidak pernah mempertikaikan kredibiliti serta kebolehan Haqiem yang dikenali berbakat besar.

Menurut Mokhzani, sebab utama Mimpi tidak layak untuk bertanding kerana lagu itu gagal memenuhi syarat utama pertandingan iaitu karya yang dihantar perlulah diterbitkan dari 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun lalu, tetapi Mimpi dihasilkan pada Disember 2019.

"Lagu Mimpi tidak menepati kriteria AIM23 kerana tersasar daripada tarikh yang ditetapkan oleh jawatankuasa kerana lagu itu diterbitkan pada Disember 2019.

"Kita tidak menafikan Haqiem memang seorang penyanyi dan penulis lagu yang berbakat, tetapi setiap penggiat industri perlu faham, juri yang dipilih bukan hanya menghadap satu artis atau karya saja, tetapi mereka perlu menghadap ratusan calon, sama ada yang popular mahupun tidak.

MOKHZANI mengaku Haqiem memiliki bakat luar biasa sebagai penyanyi.
MOKHZANI mengaku Haqiem memiliki bakat luar biasa sebagai penyanyi.

"Tidak semestinya artis atau karya yang kurang popular itu tidak bagus. Selepas saringan demi saringan hanya lima yang terbaik saja dipilih dan proses itu memang sangat genting. Namun, yang tidak berjaya bergelar lima yang terbaik itu tidak semestinya tidak bagus," katanya.

Menurut Mokhzani, AIM adalah sebuah anugerah berprestij yang mengangkat semua pengkarya, bukan saja artis tetapi mereka yang bekerja di belakang tabir.

Disebabkan itu, Mokhzani menjelaskan, asas utama setiap pemilihan adalah berdasarkan kualiti, manakala populariti bukan kayu pengukur sepenuhnya kepada setiap kejayaan.

"Saya berikan contoh, untuk kategori Vokal Lelaki Terbaik, salah satu calonnya adalah Arddey Nicholas. Pasti ada yang akan mempersoalkan siapakah dia sehingga berjaya mengenepikan penyanyi popular.

"Tapi juri sepakat memilih dia kerana dia sememangnya layak, dan juri yang memilih juga bukan calang-calang mereka terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Sarah Ismail, Dia Fadila dan lain-lain. Ini contoh yang mungkin mengenepikan Haqiem dan artis lain.

"Jadi soal populariti sudah menjadi soal kedua selepas kualiti tetapi kita tidak menafikan ada artis yang bakat dan populariti mereka bergerak seiring seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aina Abdul.

"Jadi apa yang boleh saya rumuskan, pendekatan AIM adalah sangat berbeza dan 130 juri yang dilantik adalah pakar dalam bidang masing-masing. Saya akui Haqiem penyanyi hebat cuma dia perlu akur, persaingan juga sangat hebat yang kadang-kala tidak memihak untuk berada dalam kedudukan tertinggi," katanya.

Dalam pada itu, AIM23 menyaksikan penyanyi Dayang Nurfaizah mengungguli enam pencalonan menerusi album Belagu bagi kategori Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik menerusi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi, Rakaman Album Terbaik serta dua kategori dalam Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 6:20 AM