Sebahagian artis yang hadir di sidang media Calon Akhir AIM23. Foto Aziah Azmee
Sebahagian artis yang hadir di sidang media Calon Akhir AIM23. Foto Aziah Azmee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Dayang Nurfaizah mengungguli enam pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) yang bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September ini.

Dayang mendominasi hampir kesemua kategori utama menerusi album Belagu bagi kategori Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik menerusi lagu Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi, Rakaman Album Terbaik serta dua kategori dalam Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi).

Sementara itu, penyanyi Yonnyboii dan Ernie Zakri pula mengikut rapat Dayang dengan empat pencalonan.

Ernie tercalon menerusi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Sinar Mata Hati), dua kategori dalam Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama suaminya, Syamel dalam lagu Goodbye Hello dan Berakhirlah Pencarianku duet bersama Hafiz SuipYonnyboii pula tercalon dalam kategori Rakaman Album Terbaik (Deluxe Version), dua pencalonan dalam kategori Lagu R&B/ Hip Hop Terbaik (Tak Sangka & Orang Lain), serta kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version).

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang juga Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, AIM23 menerima 650 pencalonan bagaimanapun hanya 105 disenarai pendek bagi 21 kategori yang dipertandingkan.

"RIM menerima jumlah yang memberangsangkan apabila menerima sebanyak 650 pencalonan untuk karya yang diterbitkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

"Ini menunjukkan bahawa industri muzik tempatan berada dalam keadaan baik selepas pandemik. Penambahan beberapa kategori turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pencalonan," katanya.

Menurut Rosmin lagi, seramai 113 terbabit dalam penilaian dengan setiap kategori diadili 7 hingga 10 pakar dalam bidang masing-masing.

Diketuai Maestro Muzik, Datuk Mokhzani Ismail, juri lain adalah Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Fauzi Markuzi, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz dan ramai lagi.

"Proses penjurian dilakukan secara terperinci dan tiada unsur pilih kasih. Sekiranya juri mempunyai kepentingan dalam sesebuah kategori, mereka tidak akan dibenarkan duduk di kerusi berkenaan.

"Bagi penilaian kategori utama iaitu Rakaman Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, ia dilaksanakan pada 12 Ogos disusuli penjurian kategori lain yang berlangsung pada 15,16 dan 24 Ogos lalu," katanya.

Dalam majlis sama Rosmin turut mengumumkan jawatankuasa AIM23 sebulat suara menggugurkan dua kategori berikutan kekurangan penyertaan serta tidak menepati kriteria pertandingan.

"Dua kategori yang digugurkan ialah Lagu Dangdut yang hanya menerima dua penyertaan, sedangkan untuk bertanding perlu mempunyai minimum lima pesaing, manakala kategori Lagu India Tempatan Terbaik menerima nasib sama kerana ada lagu yang dirakamkan di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 6:19 PM