SEMANGAT pemain Melaka lebih tinggi pada aksi berdepan Sabah malam esok. FOTO Melaka United
SEMANGAT pemain Melaka lebih tinggi pada aksi berdepan Sabah malam esok. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar

Melaka: Sokongan padu peminat diyakini mampu menerbitkan persembahan positif Melaka United (MU) menampilkan kelebihan kemenangan 1-0 di Sabah menjelang pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan berkata, semangat tinggi pemain yang beraksi di gelanggang sendiri diyakini lebih positif selepas cemerlang mencipta kejayaan di Kota Kinabalu.

Menurutnya, beraksi di Paya Rumput juga motivasi buat pasukan mengekalkan kelebihan yang ada dalam masa anak buahnya jelas bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Baginya, saingan tetap sengit kerana lawan pastinya berusaha untuk mencipta kejutan dan memadamkan kelebihan Melaka dalam perlawanan terbabit.

"Pada saya perlawanan baru memasuki babak pertama di Sabah dan babak kedua bakal berlangsung malam esok lebih penting.

"Justeru fokus jitu dan tidak alpa harus menjadi keutamaan pemain untuk mengelak kesilapan yang boleh mencipta ruang buat lawan mencipta percubaan bahaya ke kubu pasukan," katanya.

Beliau juga lega kerana tiada pemain yang mengalami kecederaan serius yang menjejaskan peluang mana-mana pemain utama untuk beraksi.

Sehubungan itu, beliau amat mengharapkan momentum cemerlang akan terus dikekalkan dalam perlawanan berkenaan sekali gus memenuhi misi 90 minit dengan kemenangan.

Walaupun seri sudah memadai buat skuad terbabit namun bekas penyerang kebangsaan itu amat mengharapkan pemainnya mampu meraih kemenangan.

Apa yang pasti aksi tanpa kalah sejak daripada saingan peringkat kumpulan sehingga perlawanan suku akhir pertama di Sabah menjadi azimat berharga buat Melaka melangkah ke semi final kali ini.

Pada aksi di Sabah, penyerang licik Melaka, Sony Norde menghadiahkan jaringan tunggal skuad Hang Tuah, justeru sentuhan import terbabit bersama barisan skuad yang disusun dijangka lebih menggegar kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 5:40 PM