PASUKAN PKNS pernah menjadikan Stadium Shah Alam venue mereka.
PASUKAN PKNS pernah menjadikan Stadium Shah Alam venue mereka.

Melaka: PKNS mengaku tidak berdepan masalah untuk beraksi di Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang rasmi perlawanan akhir Piala FA ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), 14 Mei nanti.

Malah, stadium terbabit pernah menjadi venue utama skuad berkenaan beberapa tahun lalu sekali gus mendorong PKNS untuk beraksi lebih baik pada perlawanan itu nanti.

Pengurus PKNS Mahfizul Rashdin berkata, keadaan rumput berkualiti di Stadium Shah Alam pasti menjamin kelancaran perlawanan akhir itu nanti dan kedua-dua pasukan tidak perlu memikirkan soal kecederaan yang berpunca daripada permukaan padang.

Katanya, apa yang lebih menarik adalah PKNS seolah-olah bermain di tempat sendiri dan ia akan menyuntik semangat pemain untuk menghadiahkan kemenangan kepada peminat mereka di Selangor.

Menurutnya, perlawanan di Shah Alam juga mampu menarik lebih ramai penyokong mereka berbanding jumlah yang datang ke Stadium Hang Jebat, Melaka setiap kali mengatur aksi di Liga Perdana.

“Kami mengaku Stadium Hang Jebat memberi tuah kepada kami sehingga berjaya mara ke final buat julung kali dalam sejarah pasukan. Namun dalam masa sama kami juga mengharapkan tuah Stadium Shah Alam untuk bergelar juara.

“Kami berharap warga Selangor khususnya akan turun menyokong dalam usaha membakar semangat pemain ketika bertemu Johor DT yang memiliki reputasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, atas kertas, Johor DT memiliki banyak kelebihan termasuk hampir semua pemain yang menjuarai saingan Piala AFC 2015 masih berada dalam pasukan itu.

Baginya, status Southern Tigers sebagai juara Piala Sumbangsih 2016 dengan deretan pemain bintang tempatan dan import bukan halangan buat anak buah jurulatih E Elavarasan untuk melakukan kejutan kedua selepas mengecewakan Perak di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:52 AM