NORAINI bersama trak makanan diusahakannya.
NORAINI bersama trak makanan diusahakannya.
TRAK makanan diusahakan Noraini sentiasa mencari lokasi strategik.
TRAK makanan diusahakan Noraini sentiasa mencari lokasi strategik.
KONSEP trak makanan menjadi pilihan perniagaan Noraini.
KONSEP trak makanan menjadi pilihan perniagaan Noraini.
ANTARA hidangan yang dijual.
ANTARA hidangan yang dijual.
MENGGUNAKAN konsep trak makanan beri kelainan dalam perniagaan.
MENGGUNAKAN konsep trak makanan beri kelainan dalam perniagaan.
Siti Nadirah Hafidzin

Cuba mencari kelainan dalam menjalankan perniagaan berasaskan makanan menjadikan pasangan suami isteri ini berusaha memberikan suatu kelainan yang istimewa.

Menggunakan konsep trak makanan yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur setiap hari menjadikan perniagaan makanan diusahakan semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Menurut Noraini Abd Hamid, dia bersama suami, Hamdan Harun dan adik-beradiknya berusaha menguruskan perniagaan itu sebaik mungkin supaya berkembang maju.

“Perniagaan makanan ini adalah perniagaan kami sekeluarga sejak 1979 namun sebelum ini kami beroperasi di kedai. Untuk memberi kelainan, timbullah idea berniaga menerusi trak makanan.

“Idea datang selepas saya mengikut anak saudara yang berniaga di bahu jalan dan melihat sambutan pelanggan begitu memberangsangkan. Dari situlah terfikir untuk menggunakan khidmat trak makanan untuk memperkenalkan masakan kami,” katanya.

Menurut Noraini, selepas melakukan perbincangan rapi bersama suami dan adik-beradik dia mula memasang strategi untuk mendapatkan van sesuai dijadikan trak makanan.

“Syukur segalanya dipermudahkan, selepas berusaha mencari van sesuai akhirnya kami berjaya membeli van yang boleh dijadikan trak makanan.

“Untuk memastikan trak makanan kami menarik, saya dan suami kemudian menghias dan mengecat menggunakan warna hijau bagi menarik perhatian orang ramai ketika beroperasi,” ujarnya.

Noraini berkata, warna itu dipilih atas faktor ketenangan dan keceriaan yang wujud sebaik memandang trak makanan diusahakannya.

Trak makanan lebih sistematik

Mungkin bagi pandangan sesetengah peniaga, menjalankan perniagaan menggunakan trak makanan ini agak leceh dan rumit namun tanggapan itu salah sama sekali.

Menurut Noraini, menjalankan perniagaan menggunakan trak makanan pada hakikatnya amat menyeronokkan, mudah dan lebih sistematik.

“Selesai memasak di kedai, kami akan menyusun atur semua hidangan di dalam van sebelum bergerak ke lokasi dirancang.

“Tiba di lokasi, saya, suami dan adik-beradik yang membantu akan terus memulakan perniagaan dan ia amat memudahkan serta menjimatkan masa,” katanya.

Selain itu, hidangan makanan juga selamat dan bersih kerana disimpan di dalam van sepanjang tempoh berniaga.

“Kebiasaannya lokasi trak makanan berubah mengikut perbincangan dan persetujuan kami sekeluarga namun saya akan memaklumkan kepada pelanggan melalui laman Facebook kami iaitu Nasi Lemak Kampung Pandan.

“Syukur, segalanya dipermudahkan dan perniagaan trak makanan kami yang menjual pelbagai jenis makanan termasuk nasi lemak dan aneka jenis lauk mendapat sambutan menggalakkan hari demi hari,” ujarnya.

Katanya, di samping trak makanan, operasi perniagaan di kedai masih berjalan seperti biasa.

Seronok bersaing

Sama seperti peniaga lain, Noraini turut mengharapkan perniagaan berkonsepkan trak makanan diusahakannya terus mendapat sambutan pelanggan.

“Saya dan ahli keluarga yang mengendalikan perniagaan ini sentiasa berusaha tanpa kenal erti putus asa bagi memastikan setiap hidangan digemari pelanggan.

“Disebabkan itu juga saya perlu sentiasa peka dan mencari idea menarik bagi memastikan perniagaan trak makanan ini semakin dikenali,” katanya.

Menurutnya, konsep perniagaan yang dijalankannya juga mendapat saingan daripada peniaga lain yang turut menggunakan konsep sama namun ia lebih menaikkan semangatnya untuk lebih berusaha gigih.

“Selain masakan yang lazat, kami sentiasa mencari lokasi strategik dan menjadi tumpuan orang ramai bagi memastikan perniagaan ini mendapat sambutan.

“Atas faktor itu juga kami tidak memilih lokasi sama setiap hari dan sentiasa mencari lokasi baru yang menjadi tumpuan selain dalam masa sama ia memperluaskan lagi rangkaian perniagaan,” ujarnya.

Noraini berkata, dia juga berusaha membahagikan masa sebaiknya memandangkan dia dan suami turut mempunyai kerjaya lain.

“Untuk berjaya soal pembahagian masa dan disiplin diri amat penting demi mengecapi kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 1:50 PM