SUASANA selesa khusus untuk pelanggan.
SUASANA selesa khusus untuk pelanggan.
ANTARA hidangan enak di Bento Street.
ANTARA hidangan enak di Bento Street.
SAJIAN lazat berkonsepkan ala Jepun.
SAJIAN lazat berkonsepkan ala Jepun.
BEKAS makanan bento beri pengalaman berbeza kepada pelanggan ketika menikmati hidangan.
BEKAS makanan bento beri pengalaman berbeza kepada pelanggan ketika menikmati hidangan.
NOORDAZLEENA dan suami (duduk) bersama pekerja mereka di Bento Street.
NOORDAZLEENA dan suami (duduk) bersama pekerja mereka di Bento Street.
Siti Nadirah Hafidzin

Jauh perjalanan luas pemandangan, bagi wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini pengalamannya melancong ke Jepun tahun lalu bersama suami membuka peluang dan idea untuk menceburi perniagaan berasaskan makanan.

Segalanya bermula apabila dia amat menyukai semua makanan halal di Jepun yang memberi inspirasi kepadanya untuk dijadikan contoh memulakan perniagaan.

Bagi Noordazleena Mohd Daud, dia dan suami segera mengumpul idea serta maklumat bagi merealisasikan impian memiliki kafeteria unik ala Jepun.

“Saya dan suami sama-sama meminati bidang masakan. Kami juga gemar mencuba pelbagai hidangan dan makanan baru. Namun, pengalaman melancong ke Jepun mengubah segalanya apabila saya mendapat idea untuk memulakan perniagaan set hidangan bento. Bento adalah set hidangan yang biasanya mengandungi nasi, ikan atau daging dan sayur dalam bekas empat segi,” katanya.

Menurut Noordazleena, keunikan bekas makanan yang mempunyai pembahagi untuk membezakan setiap sajian selain dekorasi kafeteria menjadi antara keistimewaan Bento Street yang diusahakannya kini di Bandar Bukit Puchong, Selangor.

“Berkat ketekunan, keazaman serta semangat, saya dan suami berjaya membuka kafeteria ala Jepun yang mempunyai konsep unik.

“Ini adalah kepuasan bagi saya kerana akhirnya dapat mengusahakan sesuatu yang diimpikan sekaligus menyediakan hidangan lazat ala Jepun yang halal dan bercirikan masakan tempatan,” ujarnya.

Bento Street beri kelainan

Berinspirasikan suasana di Jepun, Bento Street menyajikan suatu kelainan terutama membabitkan dekorasi hidangan yang diletakkan di dalam kotak bento.

“Objektif kami untuk memberikan peluang kepada pelanggan merasai sendiri suasana berada di Jepun walaupun belum berpeluang menjejakkan kaki ke sana.

“Disebabkan itu, saya dan suami mengkaji semua sudut bagi memastikan apa yang diusahakan ini membuahkan hasil, memberi kepuasan dan pengalaman menarik kepada pelanggan,” katanya.

Kata Noordazleena, keenakan rasa menjadi keutamaan bagi mana-mana pengusaha makanan. Jadi dia akan turun ke dapur untuk memastikan setiap hidangan disediakan sebaiknya.

“Saya beruntung mempunyai pekerja berpengalaman dalam bidang perhotelan dan penyediaan makanan Jepun secara khusus untuk menyediakan semua hidangan ditempah pelanggan.

“Saya akui ia bukanlah sesuatu yang mudah, kerana konsep makanan ala Jepun belum dapat diterima semua individu di negara ini, namun cabaran ini yang menjadikan saya terus kuat berusaha bagi menjamin rasa makanan menepati kehendak pelanggan,” ujarnya.

Antara hidangan yang ditawarkan di Bento Street adalah tempura shifudo, terayaki ayam, terayaki daging, asam pedas, masakan ala Itali, masakan ala Cina, sushi, donburi dan teppanyaki.

“Syukur, walaupun semua hidangan kami berkonsepkan ala Jepun namun sambutan yang diterima amat menggalakkan dan rata-rata pelanggan menyukai hidangan dan dekorasi kedai kami.

“Ini adalah pemangkin semangat untuk saya terus maju dalam bidang ini sekaligus dapat mengembangkan lagi cabang perniagaan ini,” katanya.

Cabaran dapatkan bekalan halal

Antara cabaran paling utama dalam mengusahakan Bento Street adalah untuk mendapatkan bekalan bahan halal untuk masakan Jepun.

“Antara usaha mendapatkan bekalan halal ialah meluaskan rangkaian kenalan dan maklumat dalam semua aspek berkaitan hidangan Jepun supaya ia dapat terus dipasarkan di negara ini,” katanya.

Menurut Noordazleena, dia bekerja secara berkumpulan dan membahagikan setiap tugasan mengikut skop kerja masing-masing.

“Perkara itu penting bagi menjamin setiap tugasan dapat dilakukan dengan baik selain mengelak bebanan kerja terlalu tinggi kepada satu-satu pekerja kerana masing-masing masih perlu meluangkan masa untuk keluarga,” katanya yang menyatakan semua hidangan serta aktiviti menarik kafeterianya boleh dilihat di laman sosial Facebook dan Instagram Bento Street Cafe.

Tambah Noordazleena, dia berharap Bento Street dapat dikembangkan di seluruh Malaysia.

“Selain mengembangkan perniagaan, perkara paling utama ialah memenuhi selera pelanggan terutama peminat makanan Jepun. Bukan mudah untuk merealisasikan impian ini, namun saya yakin ia dapat dicapai suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:20 AM