LAZAT dan menyelerakan.
LAZAT dan menyelerakan.
ANTARA char kuetiau yang ditawarkan.
ANTARA char kuetiau yang ditawarkan.
DIMASAK dengan penuh ketelitian bagi mengekalkan keenakan rasa.
DIMASAK dengan penuh ketelitian bagi mengekalkan keenakan rasa.
ANTARA pelanggan yang sedang menjamu selera menikmati kuetiau lazat.
ANTARA pelanggan yang sedang menjamu selera menikmati kuetiau lazat.
 SITI Azlina (kanan) dan Suhaiza menjalankan perniagaan makanan.
SITI Azlina (kanan) dan Suhaiza menjalankan perniagaan makanan.
Siti Nadirah Hafidzin

Suatu ketika dulu, dua sahabat baik ini pernah mengalami kegagalan selepas perniagaan francais burger bakar mereka ditutup akibat tidak mendapat sambutan selain kurangnya pengetahuan diri mengenai selok belok perniagaan.

Perasaan kecewa, sedih dan putus asa menyelubungi diri, namun semangat ingin berjaya mengatasi segalanya dan kedua-duanya sedia bangkit daripada kekecewaan.

Menurut Siti Azlina Nordin, 30, dia mengusahakan perniagaan berasaskan makanan bersama rakannya Suhaiza Mohd Jani, 30, sejak Jun 2012.

“Disebabkan kurangnya ilmu kami gagal meneruskan perniagaan, namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berjaya.

“Saya dan Suhaiza kemudian mula mengikuti kursus perniagaan bagi menambah pengetahuan mengenai selok belok perniagaan supaya kegagalan lalu tidak berulang,” katanya.

Siti Azlina berkata, nasib ternyata menyebelahinya apabila dia bertemu individu yang mahu membantunya dalam perniagaan.

“Kami bertemu dengan individu yang mahu membantu dan membuka peluang kepada kami untuk menyertai Rakan Niaga Tudia Char Kuey Teow.

“Kami diberi bimbingan, ilmu perniagaan, nasihat dan cara memasak kuetiau mengikut resipi tersendiri bagi memikat hati pelanggan,” ujarnya.

Untuk memulakan perniagaan baru itu, mereka berdua meminjam wang daripada keluarga masing-masing bagi membeli trak makanan.

“Kami mula fokus dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang kerana matlamat kami kini jelas iaitu ingin berjaya dalam perniagaan.

“Bagi mengekalkan momentum dan semangat, kami sentiasa belajar daripada individu berpengalaman dan bersikap jujur dengan pelanggan,” katanya.

Kuetiau aneka versi

Mengekalkan keaslian kuah kuetiau Pulau Pinang, Siti Azlina mengolah sedikit resipi dengan menambah rasa pedas mengikut cita rasa penduduk di Negeri Sembilan memandangkan perniagaan diusahakan dijalankan di Medan Makan Malam Hentian Bas Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurutnya, resipi asal kuetiau yang diusahakannya adalah hak milik Tuan Ikram Al Banjari disebabkan dia mengambil stok pati kicap daripada individu itu.

“Tuan Ikram banyak membantu dan dia juga yang membuka peluang kepada kami untuk menyertai kumpulan Rakan Niaga Tudia Char Kuey Teow.

“Kini, saya menawarkan pelbagai jenis kuetiau antaranya kuetiau kerang, udang, sotong, ketam, udang galah di samping turut menjual beraneka jenis burger bakar pada harga RM6.50 sehingga RM25 sepinggan.

“Harga yang kami tawarkan berbeza mengikut saiz dan harga semasa bahan basah, namun kami sentiasa mementingkan aspek harga berpatutan supaya tidak membebankan pelanggan.

“Apa yang penting kami mahu pelanggan berpuas hati dan menikmati hidangan char kuetiau yang benar-benar lazat dengan moto perniagaan ‘rasa sekali pasti termimpi-mimpi,” ujarnya.

Tambah Siti Azlina, selain keenakan hidangan, pihaknya turut menekankan penampilan perniagaan termasuk pekerja memakai pakaian seragam, persekitaran gerai bersih dan mesra pelanggan.

Sedia tempuh cabaran

Mengakui setiap bidang diceburi mempunyai cabaran tersendiri, Siti Azlina berusaha mengekalkan keenakan rasa Tudia Char Kuey Teow selain menjaga kualiti masakan itu sendiri.

“Bukan mudah untuk memenuhi selera semua pelanggan yang datang ke gerai. Ada yang mahu rasa pedas, ada yang mahu rasa biasa dan sesetengahnya tidak mahu cili langsung.

“Disebabkan itu, kami perlu bijak menyukat setiap bahan supaya ia masih mengekalkan kelazatan dan keunikannya,” katanya.

Selain mereka berdua, suaminya juga banyak membantu dan bertindak sebagai tukang masak utama.

“Sekiranya tempahan diterima banyak, saya dan Suhaiza turut memasak supaya pelanggan tidak menunggu lama,” tambahnya.

Meskipun perniagaan amat memberangsangkan namun mereka tidak mahu cepat berpuas hati. Justeru, pengurus pemasaran yang turut bertindak sebagai mentor dilantik untuk membimbing mereka.

Mereka juga mengambil maklum balas pelanggan bagi memperbaiki mutu dan kualiti keenakan masakan dari semasa ke semasa.

“Kami bercadang untuk menambah cawangan di Puchong, Selangor pada awal 2017. Kami mahu mempunyai lebih banyak cawangan dan dapat menawarkan peluang pekerjaan untuk merangsang minat berniaga terutama kepada golongan muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 11:49 AM