ZULLAILI menarik perhatian peserta terus fokus terhadapnya.
ZULLAILI menarik perhatian peserta terus fokus terhadapnya.
KELAS dilaksanakan skuad sukarelawan.
KELAS dilaksanakan skuad sukarelawan.
KAEDAH pengiraan jari mahu diperbaiki menerusi kaedah EZ Math
KAEDAH pengiraan jari mahu diperbaiki menerusi kaedah EZ Math
CERIA riak peserta datang.
CERIA riak peserta datang.
CEKAP mengendalikan peserta.
CEKAP mengendalikan peserta.
Nurul Husna Mahmud


Bengkel sehari, Klinik Matematik Kaedah EZ Math yang mengetengahkan penguasaan pengiraan matematik dengan pantas berjaya memberi manfaat kepada 130 pesertanya.

Program anjuran Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya bersama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin itu membantu peserta berusia tujuh hingga 12 tahun lebih cekap dalam pengiraan.

Meskipun julung kali dianjurkan, sokongan diterima daripada ibu bapa sangat menggalakkan sehingga peserta luar Putrajaya seperti Bangi, Kajang mahupun Puchong turut datang menghadiri slot disediakan.

Menariknya program berkenaan dikelolakan pengasas EZ Math, Zullaili Harun memberi pendekatan berbeza dengan kaedah diketengahkan di sekolah.

Dapat sokongan komuniti

Menurut Presiden Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya Khaidir Zakaria, dia tidak menjangka bengkel dalam minggu persekolahan itu mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Hebahan dilakukan dalam kalangan rakan komuniti dengan rakan badan sukarela (NGO) nyata melangkaui jangkaan pihaknya.

“Sebenarnya kami menyediakan tempat untuk 100 peserta tetapi apabila mendapat permintaan ibu bapa mahukan anak mereka mendapat peluang sama, kami buka lagi 30 tempat.

“Seboleh-bolehnya kami ingin lebih ramai, namun kapasiti ketika ini hanya memuatkan tidak lebih daripada jumlah terbabit menyebabkan kami terpaksa membuat saringan. Mereka yang benar-benar memerlukan sahaja kami terima.

“Bukan saja anak didik kami ajar menerusi kelas mingguan saja datang, kami turut mengalukan kehadiran anak pusat kebajikan untuk hadir dalam program sama.

“Justeru melihat ketekunan peserta serta sikap ibu bapa prihatin yang mahu anak mereka cemerlang dalam akademik, mendorong kami terus menganjurkan bengkel seumpama ini pada skala lebih besar lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tiada bermotifkan keuntungan, kesudian pihak EZ Math sendiri sanggup mengajar pada kadar berpatutan nyata membantu ibu bapa kurang berkemampuan untuk turut sama menyertai bengkel sebegini.

Bukan saja sokongan serta kesudian pihak luar dinanti, komitmen daripada sukarelawan komuniti sekitar Putrajaya diharap terus diterima agar anak-anak selama ini ketinggalan dalam pelajaran dapat dibimbing secara berterusan.

Disamping itu Khaidir turut melahirkan kesyukuran terhadap sokongan serta komitmen pihak masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. Malah wakil pengurusannya Ustaz Ehsan Husni turun padang melihat sendiri sesi bengkel berlangsung.

Tidak jemu

Bagi peserta bengkel Aisyah Md Ameruddin, 11, tiada satu waktu pun dia terleka kerana guru matematik sering meminta dia serta rakan melakukan latihan.

“Kami diberi buku lembaran kerja mengandungi latihan pengiraan. Ia bukan sebarang latihan kerana sepanjang kelas kami perlu menguasai teknik sambil mengisi lembaran kerja.

“Jadi setiap masa cikgu matematik di depan akan meminta kami memberi maklum balas mengenai jawapan selain mengulangi setiap ajarannya.

“Memang tiada masa untuk kami terleka dan mesti fokus di depan. Bagi saya ia tidak bosan dan membuatkan saya fokus sepanjang masa.

“Saya harap menghadiri program ini membantu saya membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun hadapan,” katanya.

Teknik baru pantas

Teknik diketengahkan EZ Math ialah kaedah mengira pantas berbeza diasaskan sendiri Zullaili Harun membantu kanak-kanak ini dapat menghitung dengan cekap dan tepat.

Itu diakui sendiri Nur Haziqah Azman peserta dari Putrajaya kerana dia berasa kaedah diketengahkan lebih pantas serta mudah difahami.

“Kalau sebelum ini kami mengira dengan jari. Kalau nombor terbabit begitu besar, buntu untuk membuat pengiraannya.

“Kaedah EZ Math lagi cepat dan kami boleh memeriksa pengiraan dengan cepat selain boleh mengesan kesalahan andai terdapat jawapan salah. Kalau ada bengkel seperti ini saya akan sertai lagi kerana ini membantu prestasi saya dalam subjek matematik,” katanya.

Bantu kawan lemah matematik

Sementara itu penghuni Darul Fuqaha Kajang Putra Ahza Aisy Muhammad Mazuki berkata, bukan semua rakannya dapat mengikuti bengkel berkenaan.

Sudah tentu ia kelebihan buat dirinya kerana terdapat skil baru dipelajari. Tentu saja ia dapat dikongsi dengan rakannya di asrama.

“Tidak pernah mengikuti program seperti ini. Mulanya saya fikir ianya bosan maklumlah program berbentuk akademik.

“Tetapi apabila datang dan ikut setiap ajaran guru EZ Math, kelas dirasa begitu singkat. Suara guru mengajar begitu jelas dan memberi tip penting agar kami dapat fokus terhadap pengiraan dibuat.

“Jadi teknik ini boleh saya kongsi bersama rakan apabila pulang ke asrama. Petua penting kalau hendak cekap mengira perlu elak guna tangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:03 AM