OTAK kanan kanak-kanak dapat dirangsang dengan berkesan dengan aritmetik mental.
OTAK kanan kanak-kanak dapat dirangsang dengan berkesan dengan aritmetik mental.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Aritmetik mental adalah latihan yang baik untuk mengembangkan potensi otak kanan pada seseorang kanak-kanak.

Mengikut buku New York Times dan Business Week Best Seller yang bertajuk Why Brainers Will Rule The Future, jelas menunjukkan kanak-kanak yang berupaya menggarap potensi otak kanan akan lebih cemerlang dalam kehidupan mereka apabila dewasa kelak.

Oleh itu, ibu bapa perlulah selalu memupuk potensi ini di luar sekolah kerana pembelajaran di sekolah tidak banyak terarah kepada otak kanan yang membabitkan bayangan dan imaginasi.

Pengasas Islamic Parenting Network (IPN), Lina Karim berkata, kajian menunjukkan pembelajaran di sekolah lebih mengasah otak kiri kanak-kanak. Kaedah aritmetik mental membuat kiraan matematik dengan menggunakan otak kanan iaitu daya imaginasi seseorang (dalam fikiran).

“Biasanya ibu bapa atau guru akan mengajar kiraan atau operasi matematik pada kanak-kanak menggunakan jari. Pengiraan menggunakan jari mempunyai kelemahannya, jika ia digunakan terlalu awal, kebanyakan kanak-kanak dalam lingkungan tiga hingga lima tahun masih belum boleh menguak jari mereka untuk pengiraan dengan betul.

“Ini kerana kemahiran motor mereka masih belum selari dalam koordinasi mereka. Jari juga mempunyai jumlah yang terhad untuk digunakan dalam operasi matematik.

“Sebagai ganti ibu bapa atau guru akan menggunakan batu atau objek lain yang difikirkan boleh membantu kanak-kanak. Ia terhad kepada jumlah kecil kerana untuk kiraan jumlah besar kita memerlukan lebih banyak objek bantuan terbabit,” katanya.

Untuk memudahkan merangsang potensi otak kanan dan memudahkan pengiraan, IPN memperkenalkan kaedah Aritmetik Mental-Abakus iaitu pengajaran matematik yang sistematik bermula dengan mengajar kemahiran menggunakan alat bantu yang dinamakan sempoa.

Pada masa sama kanak-kanak akan dilatih untuk membayangkan pergerakan manik sempoa hingga satu hari mereka boleh melakukan pengiraan tanpa menggunakan alat itu.

Kemahiran abakus itu dipindahkan ke bayangan otak mereka sehingga terbiasa mengira dengan lebih cepat dan tanpa alat berkenaan. Ia bagus untuk meningkatkan penguasaan otak kanan.

“Pengajaran kami menggunakan modul yang sistematik berserta alat bantu mengajar dalam bentuk audio visual bagi mempercepatkan stimulasi deria lihat, dengar dan sentuh kanak-kanak. Ini akan mempercepatkan proses ia dipindahkan ke minda bayangan mereka.

“Kami turut menawarkan slaid yang digunakan dalam video dalam bentuk powerpoint, sebahagian daripada slaid penuh bantu mengajar kaedah Aritmetik Mental-Abakus turut diberikan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, ia dapat membantu pemahaman dalam pengajaran abakus dalam kalangan kanak-kanak kerana pergerakan manik yang jelas dan besar disertakan dengan bunyi audio pada setiap pergerakannya.

Ini akan memudahkan kanak-kanak mengikut pergerakan manik dan memindahkannya ke otak kanan mereka (kuasa imaginasi).

Perbezaan slaid dengan video adalah jika video, kita menjadi penonton yang pasif manakala jika slaid, pergerakan manik dan keluar jawapannya adalah di bawah kuasa tangan anda.

Ini sekali gus akan menjadikan sesi lebih interaktif dan ibu bapa dapat mengetahui anak mereka sudah memahaminya atau tidak.

“Kami juga mengeluarkan lesen kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan lesen mengajar, audio visual yang merangkumi semua modul, kertas kerja lengkap dan juga kursus Train The Trainer. Sebarang pertanyaan boleh ajukan ke e-mel [email protected].

“Dengan lebih ramai tenaga pengajar, semoga akan lebih ramailah pelajar yang yakin diri untuk menyertai pertandingan Aritmetik Mental nanti,” katanya.

Menurut Lina, fokusnya adalah kanak-kanak dalam lingkungan usia tiga, lima dan enam tahun kerana ia adalah umur yang sesuai memandangkan objektifnya untuk si kecil menguasai aritmetik mental sebelum memasuki sekolah rendah.

“Semoga usaha dan idea ini dapat meramaikan lagi kanak-kanak yang bijak matematik dari usia awal,” katanya.

Minda kanak-kanak berupaya membina keajaiban, namun ia perlulah digilap dari sekarang. Antara kelebihan belajar aritmetik mental ialah:

- Merangsang serta menggilap potensi minda sehingga berkembang dan mencapai fungsi yang maksimum.

- Menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan otak kanan.

- Menguatkan daya ingatan, tumpuan, ketajaman fikiran, tanggapan, analisis, imaginasi, kreativiti dan daya fikir. Minda berupaya membina keajaiban, ia dapat dicapai sekiranya mempunyai minda yang kuat.

- Penekanan yang seimbang dalam tiga aspek iaitu darjah kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan sosial (SQ) jika dilatih seiring dengan al-Quran.

- Meningkatkan kemahiran latihan untuk motor halus.

- Melatih kanak-kanak prasekolah untuk bersedia menerima arahan aritmetik mental akan menjadikan anak anda berkebolehan mengira dengan pantas dan cepat, mencungkil kecerdasan minda dalam merangsang daya tumpuan, pendengaran teliti, penglihatan dan disiplin masa. Selain itu, ia mampu menambah keyakinan diri di samping cekap dalam mate Meningkatkan kecergasan reaksi terhadap sesuatu, mudah mengikuti dan memahami pembelajaran guru.

- Meningkatkan kemahiran kreatif dan imaginatif selain kemahiran analisis dan logikal.

- Selain itu, aritmetik mental juga melatih keupayaan pemerhatian yang lebih tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:13 AM