PERALATAN berkaitan sistem fertigasi.
PERALATAN berkaitan sistem fertigasi.
AHMAD Fikri (kanan) menerangkan cara betul penyemaian anak pokok.
AHMAD Fikri (kanan) menerangkan cara betul penyemaian anak pokok.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Bercucuk tanam kelihatan mudah, namun realitinya ia perlukan ilmu dan kemahiran.

Mempelajari teori tanpa amali adakalanya membosankan apatah lagi anda disogokkan fakta semata-mata.

Menyedari kepentingannya, Serotech Sdn Bhd iaitu anak syarikat UKM mengadakan Bengkel Fertigasi Cilibangi Kali Pertama di Rumah Tumbuhan UKM, Bangi, baru-baru ini.

Bengkel sehari itu disertai 21 peserta membabitkan individu yang suka bercucuk tanam di rumah.

Aktiviti bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu membabitkan modul penyemaian, penyediaan media tanaman, penyediaan sistem fertigasi, penyediaan baja dan cara penjagaan tanaman.

Turut dikongsi cara mengenal pasti penyakit cilibangi, kawalan serangga dan kaedah menuai cili dengan betul.

Seramai empat tenaga pengajar terlatih dijemput membantu peserta iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharifah Nur Rahimah Syed Alias, Pengurus Pemasaran, Ahmad Fikri Mastor, Pengurus Pengeluaran, Nurhairiz Asyirin dan Pengurus Operasi, Puteri Nadiyah Megat Hamdan.

Bengkel itu dikendalikan seratus peratus secara amali dan peserta boleh bertanya sebarang masalah berkaitan teknik penanaman.

Sharifah Nur Rahimah berkata, bengkel itu bagi berkongsi ilmu dan pengalaman kepada peserta.

“Sasaran kami kepada mereka yang mempunyai hobi berkebun di rumah.

“Fertigasi adalah kaedah terbaik untuk penanaman sayuran dan herba.

“Mereka tidak perlu risau tanaman kurang baja dan air kerana sistemnya dikawal secara automatik,” katanya.

Bagi mengelak kebergantungan peserta kepada teori katanya, Serotech mengubah modul sedia ada.

“Dengan cara itu, kami (Serotech) dapat memberi keyakinan kepada peserta untuk membangunkan fertigasi sendiri.

“Diakhir program, satu kumpulan penanam Cilibangi akan dibentuk mengikut penjadualan ditetapkan,” katanya.

Peserta program, Jalil Ibrahim, 51, berkata, bengkel disertai banyak membantu dirinya mengenai Cilibangi.

“Membaca tidak sama dengan latihan secara amali kerana kita berpeluang mengajukan soalan,” katanya.

Bagi bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Salmiah Basir, bengkel itu membuka ruang kepadanya untuk bertani.

“Saya dan suami bercadang menanam cili di tanah pusaka keluarga di Nibong Tebal, Pulau Pinang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 10:07 AM