Antara peralatan yang disyaki untuk pecah rumah yang dirampas daripada empat suspek. - Foto MOHD ADAM ARININ
Antara peralatan yang disyaki untuk pecah rumah yang dirampas daripada empat suspek. - Foto MOHD ADAM ARININ
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Empat individu termasuk dua wanita gagal mencuri sebuah kereta di lorong Juara Ikan 2, Sadong Jaya, di sini, berputih mata apabila semua mereka diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang mendapat maklumat, menjalankan pemeriksaan di lokasi sebelum terserempak dengan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dan dua wanita dalam keadaan mencurigakan pada 12.30 tengah hari.

Selepas hampir sejam membuat pemerhatian, empat suspek itu didapati menghampiri sebuah kereta dan membuka pintu kenderaan.

“Anggota polis menghampiri mereka dan memperkenalkan diri menyebabkan dua lelaki cuba melarikan namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kereta dinaiki mereka, polis menemui beberapa peralatan disyaki untuk pecah rumah.

"Semua suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek memiliki kesalahan lampau membabitkan jenayah curi dan salah guna dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 4:13 PM