Chandra menunjukkan rantai emas yang dirampas. FOTO ihsan polis
Chandra menunjukkan rantai emas yang dirampas. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


LELAKI ditahan selepas meragut rantai emas seorang wanita bernilai RM4,000 di hadapan sebuah bank di Jalan Lintas, Luyang dekat Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 9.15 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jururawat berada di pintu bank manakala suaminya menunggu di kereta.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika itu, suspek meluru dan menarik rantai emas mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang terkejut menjerit meminta bantuan menyebabkan pengawal keselamatan bank cuba mengejar suspek namun gagal. Suami mangsa juga cuba mengejar namun gagal," katanya hari ini.

Menurutnya, suspek melarikan diri ke bangunan berhampiran dan ketika itu pengawal keselamatan di bangunan berkenaan terdengar orang awam menjerit dan membantu menahan penjenayah itu.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Suspek mengaku terbabit dalam kejadian ragut itu dan mendakwa dia melakukan jenayah itu disebabkan tidak mempunyai wang.

"Pemeriksaan mendapati suspek adalah warga Filipina dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya.

Chandra berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 2:19 PM