Kuala Lumpur: Jaguh lebuh raya negara Mohd Harrif Saleh (tengah) akan mengetuai misi mempertahankan emas acara lepas beramai-ramai dan kriterium Sukan SEA, Ogos nanti.

Dia yang memenangi dua emas pada edisi 2015 di Singapura akan dibantu Anuar Manan, Mohd Zamri, Mohd Shahrul Mat Amin, Adiq Hussaini Othman dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

“Pemilihan enam pelumba ini diputuskan pengurusan pasukan. Mereka akan diketuai jurulatih Jeremy Hunt bagi mengekalkan dua emas,” jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu Cycling Team (TSG) Nasiruddin Wan Idrus.

Tambahnya, kombinasi pelumba yang diputuskan dilihat lebih baik dengan kehadiran Shahrul dan Amirull Fakhruddin.

“Kita rasa peluang akan lebih baik kali ini selain laluan dijangka memberikan kelebihan kerana kita adalah tuan rumah.

“Bagaimanapun kita tetap berwaspada terutamanya dengan pencabar utama dari Thailand dan Vietnam,” katanya.

Sebelum ini TSG diberikan mandat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memilih pelumba bagi dua acara berkenaan.

Jelas Nasiruddin, pelumba kini sedang menjalani latihan pusat di Ipoh dan Cameroon Highlands sejak beberapa hari lalu serta dijadualkan menyertai kejohanan di Jepun, Korea Selatan dan China.

Skuad basikal negara menerusi trek dan lebuh raya antara harapan utama untuk membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 13 emas disasarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 1:42 PM