AYDA sebak ketika menyampaikan ucapan terima kasih kepada peminat yang hadir.
AYDA sebak ketika menyampaikan ucapan terima kasih kepada peminat yang hadir.
AYDA terharu diberi peluang menjayakan showcase sulung di Singapura.
AYDA terharu diberi peluang menjayakan showcase sulung di Singapura.
Najiy Jefri

Kota Singa menjadi saksi kesetiaan peminat Ayda Jebat yang julung kali mengadakan showcase di negara itu.

Konsep persembahan Ahada lalu yang santai dan dekat dengan peminat seperti diidamkan penyanyi berusia 24 tahun itu menarik hampir 200 peminat dari Malaysia dan Singapura.

Biarpun jadual kerjanya padat, penyanyi yang meraih tiga trofi pada Anugerah Planet Muzik 2016 (APM 2016) menerusi kategori Artis Paling Popular APM, Lagu Paling Popular (Pencuri Hati) dan Ikon Media Sosial itu tetap mencuri masa untuk membuat showcase berkenaan sebagai apresiasi serta terima kasihnya kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.

“Alang-alang saya berada di sini untuk menghadiri APM lantas saya dan syarikat pengurusan merancang mengadakan showcase ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan .

“Ini adalah showcase saya yang pertama sebagai hadiah kepada peminat. Showcase ini sebagai satu praktis untuk saya menjadi lebih baik pada masa depan,” katanya

Menurut Ayda, tanpa sokongan padu daripada peminat dia bukanlah sesiapa hari ini. Lantaran itu dia selalu mengingatkan dirinya sendiri agar jangan bermuka-muka, sebaliknya lebih selesa menjadi diri sendiri.

“Peminat meminati kita tanpa diupah dan diberikan bayaran. Mereka melakukannya dengan seikhlas hati yang membabitkan banyak usaha dan tenaga. Justeru, tidak salah andai saya mencuri ruang ini untuk meluangkan masa bersama mereka sebagai menghargai segala pengorbanan yang mereka lakukan untuk saya,” katanya.

Showcase yang berlangsung meriah dan bertenaga itu menjadi satu persembahan yang cukup bermakna khususnya buat penonton yang hadir. Walaupun dia hanya mempersembahkan 11 lagu, showcase Ayda itu tidak membosankan kerana dia bijak mengawal suasana dan sering berbicara dengan penonton mengenai kisah peribadinya.

Membuka persembahan dengan lagu Siapa Diriku sebelum diikuti lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Kuch Kuch Hota Hai, Ayda bercerita mengenai pilihan lagu terbabit yang menjadi lagu wajib dinyanyikan ketika dia berusia enam tahun. Dua lagu itu dinyanyikan usai ibunya membuat persembahan di sebuah hotel di Melaka.

Sebelum menyanyikan lagu Fallin dan Love You Like A Love Song, Ayda mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli kelab AJ Screamer yang tidak putus-putus menyokongnya sehingga menjulang namanya sebagai pemenang dalam beberapa majlis penganugerahan.

Selain itu, Ayda turut menyanyikan lagu kegemaran yang begitu dekat dengan perjalanan hidupnya ketika menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia serta pembabitannya dalam drama Rindu Awak 200%. Antara lagunya, Pencuri Hati, Jaga Dia Untukku, Goyang Inul dan Sudah Ku Tahu hasil berduet dengan pendatang baru dari Singapura, Haikal Ali.

Apa yang mengejutkan pada petang itu, ketika Ayda memberikan ucapan penutup buat peminat yang sanggup datang dari jauh dan membeli tiket untuk menyaksikan showcasenya itu, tiba-tiba riak wajah dan suaranya berubah.

Tanpa sedar, air matanya mengalir laju di pipi sambil teresak-esak menceritakan kepayahan yang dilaluinya untuk sampai ke tahap ini dan dia begitu menghargai jasa serta pengorbanan peminat yang banyak membantu menaikkan namanya.

Kata wanita kelahiran Merlimau, Melaka itu, dia akan terus menjadi dirinya sendiri dan kemenangan yang dikecapi bukan alasan untuk mendabik dada dengan berasakan diri sudah berada pada tahap selesa.

“Saya tahu akan sentiasa ada artis datang dan pergi. Jadi saya kena selalu pastikan produk yang saya hasilkan sealiran dengan cita rasa peminat. Bagi saya setiap hari adalah proses pembelajaran untuk menjadi manusia yang lebih baik dan bukannya hanyut dengan populariti,”katanya.

Sementara itu, beralih mengenai kejayaan yang dilakar pada APM 2016, Ayda atau lebih mesra di sapa panggilan Kenid berkata, kejayaannya itu menjadi pemangkin untuk terus bekerja keras dan memegang erat kepercayan yang diberikan peminat kepadanya.

Ujarnya, semua yang dicapainya adalah motivasi untuk tidak patah semangat bagi melakar lebih banyak kejayaan selain memastikan kerjaya seninya diperbaiki setiap masa.

“Saya tahu apabila peminat mengundi dan mengangkat kita sebagai pemenang, mereka percaya dengan bakat yang dimiliki. Sebagai artis saya perlu memastikan harapan mereka sentiasa dilunaskan.

“Bukan senang untuk buat orang sukakan kita dan saya yakin dalam pada itu ada juga yang kurang berkenan dengan kita, itu sudah jadi lumrah dalam kehidupan. Bagaimanapun, saya mahu peminat terus berada bersama saya dan menyokong saya seperti yang mereka lakukan kini,” katanya yang bakal mengeluarkan single ketiganya November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 12:28 PM