KETIKA pelancaran program  Extreme Roadtrip.
KETIKA pelancaran program Extreme Roadtrip.
Sudirman Mohd Tahir


Bagi mengukuhkan lagi Astro Bella, saluran mengetengahkan gaya hidup wanita ini tampil dengan program terbaru berjudul Extreme Roadtrip yang mula bersiaran 1 Oktober lalu.

Program yang menggabungkan konsep ‘road trip’ dan ‘bucket list’ ini menampilkan tiga selebriti wanita popular terdiri daripada Sherry Al Hadad, Elfira Loy dan Ardell Aryana.

Pengurus Saluran Astro Bella Natasha Hashim berkata, pemilihan tiga artis itu bersesuaian dengan konsep yang dibawa selain kena dengan personaliti mereka.

“Memandangkan saluran ini khas untuk wanita, jadi kami perlu menampilkan wanita sebagai teraju utama. Bagi saya mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri dalam melaksanakan beberapa impian di setiap lokasi yang dituju.

“Pada masa sama, program ini memaparkan beberapa tempat menarik yang jarang menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Antara destinasi pilihan kali ini adalah Pahang, Perak, Johor, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Manakala, aktiviti ekstrem yang dilakukan tiga selebriti itu pula adalah paragliding, ‘cliff jumping’, ‘paramotor’ dan selam skuba.

“Meskipun Sherry berbadan besar, dia berjaya melakukan pelbagai aktiviti lasak.

“Ardell fobia dengan tempat tinggi tetapi dia berusaha melawan ketakutan itu demi melaksanakan aktiviti impiannya.

“Sementara itu, Elfira takut dengan ikan. Jadi ketika melakukan aktiviti selam skuba dia berasa geli dikeliling banyak ikan. Namun mereka saling membantu dan menyokong,” katanya.

Bagi Sherry yang juga pengacara program Akak Akak Sangat, semua aktiviti yang disediakan sangat mencabar.

“Kami melakukan aktiviti berbeza di setiap negeri. Bagi saya tidak ada satu pun yang mudah. Sebagai contoh, saya kena mendaki hampir 1,500 anak tangga di Batu Caves. Bayangkan baru saja naik tiga anak tangga saya dah semput.

“Selain itu, saya ada masalah klaustrofobia iaitu takut dengan tempat sempit. Ketika melakukan aktiviti di Gua Anak Tempurung, saya perlu masuk kawasan sempit. Nak tak nak saya perlu lalui juga,” katanya.

Menurut Ardell, ketika mendaki di Gua Musang dia mengalami kekejangan otot.

“Bukan mudah kerana tempat itu sangat curam. Kali kedua saya mengalami kekejangan otot adalah ketika melakukan aktiviti paragliding di Bukit Jugra.

“Saya ada masalah akrofibia tetapi syukur dapat menyempurnakan terjunan setinggi 20 kaki di Pulau Redang,” katanya.

Berbeza dengan Elfira apabila cabaran terbesarnya adalah melakukan aktiviti bersama dua rakan yang tidak pernah terbabit dengan sukan ekstrem.

“Memandangkan Sherry dan Ardell tiada pengalaman, jadi saya kena bantu mereka.

“Ardell nampak berani tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga dengan Sherry. Jadi saya kena bagi kata-kata semangat setiap kali melakukan aktiviti yang disediakan produksi,” katanya.

Program 13 espisod ini ditayangkan serentak di Astro Bella dan Astro Mustika HD setiap Sabtu, jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:00 AM