SEBAHAGIAN daripada selebriti terbabit dalam program Awak Kat Mana?
SEBAHAGIAN daripada selebriti terbabit dalam program Awak Kat Mana?
Syanty Octavia Amry


Berada di negara orang bagi melaksanakan satu tugasan dan perlu bertutur dalam bahasa mereka yang kurang difahami adalah antara cabaran dalam program terbaru Astro, Awak Kat Mana? yang bakal ditayangkan bermula 13 Ogos ini.

Program travelog berbentuk pertandingan itu memilih 13 destinasi di Eropah dan menampikan 26 selebriti tanah air.

Ditayangkan seba­nyak 13 episod, program ini bakal bersiaran di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Diacarakan pelakon Nabila Huda, antara selebriti wanita terbabit ialah Sharifah Sakinah, Sherry Al Hadad, Anzalna Nasir, Elfira Loy, Raja Ilya, Ieda Moin, Adeline Tsen, Chacha Maembong, Nad Zainal dan Sherry Ibrahim.

Manakala selebriti lelaki terdiri daripada Iqram Dinzly, Atu Zero, Syed Ali, Izzue Islam, Zalif Sidek, Alam Wakaka, Farish Aziz, Rahmat Mega, Syazwan Zulkifly, Fattah Amin, Aedy Ashraf, Nabil Mahir, Syarul Ridzuan, Saiful Zero, Nas-T dan Harris Baba.

Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad Ramli berkata, Astro tidak pernah berputus asa dalam memberikan rancangan menarik dan terbaik buat penonton setia mereka.

Yakin dengan sambutan terhadap setiap program baru yang mereka tampilkan, Astro pasti program travelog setengah jam ini mampu mencuit hati penonton dengan gelagat setiap selebriti yang terbabit.

“Mungkin program seumpama ini sudah ada ditayangkan di televisyen, bezanya untuk program ini setiap pasangan peserta diberikan RM10,000 untuk melunaskan misi mereka.

“Jika berjaya, lebihan wang yang ada akan jadi milik mereka dan jika gagal ia hangus begitu saja.

“Justeru, mereka perlu bijak melakukan apa saja kreativiti yang ada bagi melunaskan setiap tugasan yang diberi,” katanya.

Mengulas mengapa memilih Eropah dan bukan Asia, Raqim berkata, selepas meneliti pengisian program pihaknya sepakat memilih Eropah bagi menambahkan lagi cabaran peserta melalui komunikasi bahasa mereka dengan warga tempatan di setiap negara.

“Kami yakin program ini akan lebih menarik dan mencabar apabila peserta perlu banyak berkomunikasi dengan orang tempatan bagi mendapatkan petunjuk terhadap tugasan mereka.

“Daripada sini kita boleh lihat sejauh mana kemampuan dan usaha setiap peserta dalam melaksanakan tugasan yang diberi,” katanya.

Sementara itu, Raja Ilya yang berpasangan dengan Syed Ali diberi tugasan di Paris, Perancis.

Dia yang baru mengetahui pasangannya ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersyukur dipasangkan dengan pelakon itu yang senang memberi kerjasama.

“Alhamdulillah, walaupun sangat mencabar tugasan yang saya lakukan namun kerjasama daripada Syed memudahkan urusan kami.

“Sepanjang melakukan tugasan juga kami tiada sebarang masalah kerana Syed seorang yang mudah dibawa berbincang.

“Bagi yang ingin mengetahui kesudahan episod saya dan Syed boleh saksikannya pada episod pertama nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 2:59 PM