Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar pemaju perumahan diberikan lesen untuk memberi pinjaman kepada pembeli rumah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang diharap dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman.

Perunding Kewangan dan Hartanah Ahmad Humaizi Consultancy, Ahmad Humaizi Mat Noor berkata, cadangan diberikan bertujuan untuk mengurangkan kesukaran dihadapi pembeli untuk mendapatkan pinjaman bank dan masalah bayaran pendahuluan.

Katanya, persoalannya adakah ia satu penyelesaian terbaik atau bakal membebankan pembeli pada masa hadapan.

“Tujuan asal perniagaan pemaju hartanah untuk membina dan menjual rumah serta bukannya memberikan pinjaman. Sekiranya mereka dibenarkan memberi pinjaman, adakah mereka akan pastikan pembeli benar-benar berkelayakan untuk meminjam atau sekadar ingin habiskan jualan rumah yang baru dilancarkan?

“Antara isu yang perlu dipertimbangkan adakah pemaju mempunyai kapasiti untuk memberikan pinjaman? Dalam kebanyakan kes di Malaysia pemaju itu sendiri memerlukan pinjaman daripada bank untuk memulakan projek perumahan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pembeli yang mengalami masalah dalam pinjaman daripada kalangan yang mempunyai taraf risiko kredit yang tinggi dan pastinya pemaju juga akan mengenakan kadar faedah yang tinggi ke atas pinjaman.

Beliau berkata, dengan memberikan lesen skim pinjaman kredit boleh menggalakkan pinjaman tidak dikawal kepada isi rumah yang memiliki profil kewangan lemah dan seterusnya boleh menambah risiko berkaitan peningkatan hutang isi rumah.

Ahmad Humaizi berkata, selain itu REHDA ada menyatakan mengenai pinjaman adalah dalam bentuk Pinjaman Penyambung dan juga deposit memandangkan pihak bank memberikan pinjaman 70 hingga 80 peratus daripada harga rumah.

“Dalam situasi pihak bank hanya sanggup beri pinjaman 70 hingga 80 peratus sahaja, ini bermakna kelayakan potongan gaji untuk bayaran balik pinjaman sudah mencapai nisbah hutang yang dibenarkan dan diterima pakai oleh semua bank di Malaysia.

“Jika pemaju pula menawarkan 10 hingga 20 peratus pinjaman dengan 12 hingga 18 peratus faedah, sudah tentu bayaran balik pinjaman oleh peminjam akan mencapai atau mungkin melebihi 75 peratus daripada gaji dan kemungkinan besar mereka tidak dapat untuk jelaskan hutang,” katanya.

Katanya, dalam konteks ini, ia tidak lagi membantu, tetapi menyediakan laluan peminjam menjadi seorang yang muflis dan jika pembeli masih lagi dibenarkan membuat pinjaman menerusi pemaju, maka tidak mustahil peratusan rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap akan meningkat rentetan daripada hutang isi rumah yang terlampau tinggi.

Beliau berkata, langkah terbaik sekarang ini adalah memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang masih tidak memiliki hartanah sendiri supaya boleh membuat pinjaman bank pada harga berpatutan manakala pinjaman subsidi diberi kepada yang benar-benar memerlukan.

“Kerajaan boleh pertimbangkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan utama di sekitar Lembah Klang dan bandar utama di seluruh negara. Kerajaan perlu menggalakkan dan memberikan lebih insentif kepada pemaju yang mempunyai inisiatif untuk membina lebih banyak perumahan mampu milik kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Humaizi percaya cadangan KPKT untuk memberi lesen pinjaman kepada pemaju mungkin berkesan sekiranya kerajaan menetapkan skim berkenaan untuk pembeli rumah pertama sahaja.

“Namun, jika kerajaan menetapkan had maksimum pinjaman dan kadar faedah yang rendah iaitu sebaiknya empat peratus atau ke bawah dengan tempoh bayaran lebih panjang, mungkin ini akan lebih membantu.

“Ini kerana, dengan pemberian lesen kredit sebenarnya boleh mengundang spekulasi hartanah dan bertentangan dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak membenarkan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) bermula Januari 2014,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 6:19 AM