NOH Omar berucap merasmikan Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Nasional. FOTO Sairien Nafis
NOH Omar berucap merasmikan Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Nasional. FOTO Sairien Nafis
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan yang layak bertujuan membantu pembeli rumah mendapatkan pembiayaan yang mencukupi.

Ia adalah langkah bagi membantu pembeli rumah yang berdepan dengan masalah untuk mendapatkan jumlah pembiayaan yang diperlukan daripada bank.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, lesen pembiayaan itu yang dilaksanakan di bawah kementeriannya menerusi Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Pindaan 2011) yang mana ia tidak termaktub di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kadar faedah yang ditawarkan adalah maksimum 18 peratus tanpa cagaran dan minimum 12 peratus dengan cagaran yang mana pemaju perumahan yang berkelayakkan dari segi modal serta dalam proses pembinaan projek perumahan boleh memohon mendapatkan lesen berkenaan dari KPKT bermula hari ini.

"Pengenalan langkah ini membantu orang ramai untuk mendapatkan jumlah pembiayaan yang mencukupi dan ia juga membantu mengembangkan perniagaan pemaju perumahan yang dahulunya hanya menjual rumah dan kini boleh menawarkan pembiayaan dalam segmen hartanah," katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Nasional ke-19 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri FD Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 1:27 PM