SUK Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (dua dari kiri) melihat dron yang akan digunakan PTG di negeri. - Foto FARAH SUHAIDAH OTHMAN
SUK Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (dua dari kiri) melihat dron yang akan digunakan PTG di negeri. - Foto FARAH SUHAIDAH OTHMAN
BERNAMA

Ipoh: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak akan menggunakan dron untuk memantau aktiviti penerokaan tanah haram, kata Pengarahnya Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris.

Beliau berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM187,500 untuk pembelian 16 unit dron.

Pada fasa pertama, dron berharga RM12,500 seunit akan diserah kepada 12 daerah besar dan PTG sebelum diperluas kepada enam lagi daerah kecil menjelang akhir tahun ini, katanya pada majlis penyerahan dron itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat May Nayan hari ini.

"Penggunaan dron dapat meningkatkan kecekapan dari segi pengurusan tanah dan penguatkuasaan undang-undang terutama dalam membanteras penerokaan haram di kawasan yang tidak boleh diakses menggunakan kenderaan," katanya.

Syed Mokhtar berkata penggunaan teknologi dron juga dapat mengawal aktiviti pengeluaran bahan batuan atau mineral dengan akses pandangan lebih jelas.

"Ia juga dapat membantu menyediakan laporan tanah bergambar terkini dan jelas bagi sesuatu permohonan tanah untuk pertimbangan, memandangkan laporan sebelum ini tidak menggambarkan keadaan tanah semasa," katanya.

Beliau berkata antara daerah yang mempunyai banyak penerokaan haram adalah Batang Padang, Kampar, Kinta dan Manjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 4:26 PM