AIZAL Shafiq (kanan) bersama Abdul Muiz memeriksa dron sebelum diterbangkan.  FOTO AZRUL EDHAM
AIZAL Shafiq (kanan) bersama Abdul Muiz memeriksa dron sebelum diterbangkan. FOTO AZRUL EDHAM
Suraya Roslan


Nilai: Walaupun tidak mempunyai kelulusan tinggi, namun mereka berbangga apabila bergelar juruterbang dron bertauliah yang kini menjadi pilihan kerjaya bagi ramai anak muda.

Berkelulusan sekadar Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Ahmad Syafiq Noor Azman, 29, tidak menyangka dia kini bergelar 'juruterbang darat' dan mempunyai kerjaya profesional setaraf golongan terpelajar.

"Selepas selesai PMR, saya mengikuti rakan dan bekerja di sebuah syarikat membuat pelekat.

"Pada 2018, saya mencuba nasib memohon kerja di Malvus Sense dan akhirnya diterima bekerja sebagai juruterbang dron.

"Alhamdulillah, majikan saya tidak memandang kelayakan akademik untuk bekerja dan memberi saya peluang mengembangkan kerjaya dalam bidang profesional," katanya.

Bagi Abdul Muiz Mat Robi, 27, yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia tidak menyangka kini bergelar seorang pilot walaupun hanya mengendalikan dron.

"Siapa sangka walaupun hanya memiliki kelulusan SPM, saya boleh mempunyai karier profesional sebagai juruterbang dron.

KETUA Pegawai Eksekutif Malvus Sense, Syed Omar Syed Mohamad (tengah) memberi penerangan kepada Aizal Shafiq  (kanan) dan Abdul Muiz.
KETUA Pegawai Eksekutif Malvus Sense, Syed Omar Syed Mohamad (tengah) memberi penerangan kepada Aizal Shafiq (kanan) dan Abdul Muiz.

"Saya membantu agensi kerajaan membuat pemetaan cerun dan pelbagai lagi kerja menggunakan dron," katanya yang berasal dari Kedah.

Menceritakan kisah silamnya, Abdul Muiz berkata, dia sangat meminati teknologi baharu dan berjinak-jinak dengan dron agrokultur selepas disaran rakannya.

"Saya mula mengambil upah meracun dan membaja padi serta tanaman lain menggunakan dron.

"Sehinggalah akhirnya saya berjumpa pihak Malvus Sense yang memberi peluang untuk saya mengembangkan lagi kerjaya sebagai juruterbang dron," katanya.

Akuinya, dia cukup berbangga kerana diberi peluang menjadi pilot di darat berbanding di awan biru.

"Apabila pulang ke kampung, orang kampung tanya saya kerja apa, saya bangga bercerita kerjaya saya sebagai juruterbang dron," katanya.

Sementara itu, Aizal Shafiq Shahrin Azwa, 23, yang berkelulusan Diploma Geometik di Politeknik Ungku Omar, bersyukur diberi peluang mengendalikan dron sebagai kerjayanya.

"Ia bermula dengan satu program latihan dron. Sejak itu saya didedahkan dengan pengukuran menggunakan dron berbanding kaedah konvensional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 6:31 AM