MESEJ dan bungkusan makanan yang ditemukan pada dron berkenaan.
MESEJ dan bungkusan makanan yang ditemukan pada dron berkenaan.
Agensi

Taipei: Tentera Taiwan yang ditempatkan di sebuah pulau kecil berhampiran tanah besar China menemui bungkusan makanan yang dipercayai dijatuhkan oleh dron.

Penghantaran bungkusan itu dibuat selepas beberapa siri insiden di pulau Quemoyatau atau Kinmen, baru-baru ini.

South China Morning Post melaporkan, tentera Taiwan menembak jatuh dron awam itu yang terbang dari tanah besar, pada Khamis lalu.

Kementerian Pertahanan Taiwan itu berkata, askar menemui bungkusan makanan yang dibungkus dalam beg sampah di pantai di Lieyu, yang terletak kira-kira lima kilometer dari bandar besar China, Xiamen.

Bungkusan itu disyaki dijatuhkan oleh dron yang tidak dikenali, kata kementerian itu tanpa menyatakan sama ada ia datang dari tanah besar.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, pihaknya melihat dua dron berhampiran Lieyu yang diberi amaran selepas tentera melepaskan suar dan ia terbang kembali ke Xiamen.

Tentera Taiwan akan mengambil langkah tegas terhadap dron yang "membahayakan keselamatan tentera dan awam dengan menjatuhkan objek", tambah kementerian itu.

Bungkusan itu termasuk sebiji telur rebus, zha cai iaitu sejenis jeruk sayuran, dan ia dibawa oleh dron yang terbang dari Xiamen, menurut laporan media Taiwan.

Laporan itu memetik video yang dikeluarkan oleh pengguna Weibo di tanah besar China, bernama kapten Quanzhou pada hari Jumaat, yang menunjukkan dia membungkus bungkusan, termasuk makanan dan surat, sebelum diletakkan pada dron.

"Hello, rakan senegara Taiwan … Kami menghantar zha cai dan telur yang terbaik, salam kepada pembela barisan hadapan"," surat itu berbunyi.

Tindakan itu untuk mengejek rancangan televisyen Taiwan sebelum ini yang mengatakan penduduk tanah besar China, tidak mampu membeli dua jenis makanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 11:02 AM