PESILAT UiTM Jurus Tunggal Putra dan Putri serta Regu Putri mempamerkan pingat dimenangi.
PESILAT UiTM Jurus Tunggal Putra dan Putri serta Regu Putri mempamerkan pingat dimenangi.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerancakan Kejohanan Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri hari keempat diteruskan dengan dominasi pesilat Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengungguli acara jurus tunggal putra dan putri serta regu puteri.

Dominasi UiTM dimulakan menerusi kemenangan acara seni putra, Afiqul Rashyed Osman (gambar) apabila menumbangkan pesilat UniSZA, Asikin Che Ahmad manakala tempat ketiga diraih Hairi Jupri dari Politeknik Shah Alam.

Kategori jurus tunggal putri (IPT Tempatan) pula dimenangi pesilat UiTM Farah Aini Safei yang menewaskan Nur Fatin Nabilah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam aksi akhir manakala Nur Khairunnisa Akmal yang mewakili Universiti Malaysia Terengganu ketiga.

Penguasaan pesilat UiTM juga diteruskan dalam acara regu putri yang diwakili Nornadhirah Ratius, Auni Rahim dan Haslinda Abu Hassan apabila mereka menjuarai kategori itu.

Srikandi UiTM itu menewaskan trio UUM Nur Aishah Razani, Nur Alyaa Aqilah dan Siti Nurhayati dengan tempat ketiga milik Aisyah Mohamad, Nurfertyazzua Hashim dan Nurul Aishah Hamdan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Jurulatih pasukan UiTM Habizan Othaman berkata, beliau gembira dengan kejayaan anak buahnya menguasai saingan itu.

Jelasnya, kejayaan anak didiknya terhasil daripada pengalaman yang ditimba dari kejohanan terdahulu seperti SUKMA dan pertandingan terbuka lain.

“Pesilat saya mendapat pengalaman daripada kejohanan sebelum ini. Kami menghantar tiga pasukan saja dan ketiga-tiga mereka muncul juara,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:35 AM