Tallinn: Jurulatih England Roy Hodgson tidak boleh dipersalahkan kerana mengeluarkan Raheem Sterling selepas pemain tengah Liverpool itu meminta untuk berehat dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 menentang Estonia.

Hodgson berkata, Sterling, 19, mengadu letih sebelum perlawanan bermula.

"Dia mengadu keletihan dan sanggup diletakkan sebagai pemain simpanan. Tidak adil jika semua perkara mengenai pemain diletakkan di atas bahu saya," kata Hodgson selepas menang 1-0.

Sterling masuk pada minit ke-64 menggantikan rakan sepasukan di Liverpool, Jordan Henderson dan dia dikasari hingga membolehkan England mendapat sepakan percuma yang disempurnakan kapten Wayne Rooney seterusnya mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan England dalam tiga perlawanan Kumpulan E.

Pemain remaja itu pernah diberikan rehat oleh pengurus Liverpool Brendan Rodgers dalam kempen Liga Perdana Inggeris ketika menentang Aston Villa, September lalu.

"Dia menjadi nadi skuad utama Liverpool, beraksi cemerlang sepanjang musim dan di Piala Dunia. Dia baru berusia 19 tahun.

"Pertemuan ini bukan semudah sesi latihan. Anda mungkin berasa sakit di bahagian kaki.

"Begitu juga fikiran anda, tambahan pula Liverpool tidak bermula dengan baik musim ini dan dia menjadi tumpuan England dan Liverpool. Mungkin ia juga memberi kesan, saya tidak pasti, ia hanyalah teori saja," kata Hodgson.

Seorang lagi rakan sepasukannya, Adam Lallana dipilih beraksi dalam kesebelasan utama di Tallinn.

"Untuk bertindak adil kepadanya, saya sudah membuat keputusan kerana Lallana beraksi dengan baik pada babak kedua menentang San Marino.

"Ia memang mudah. Selepas dia memberitahu tidak bersedia 100 peratus dan perlu berehat, saya masukkan Lallana yang begitu teruja untuk beraksi," katanya.

"Mempunyai pemain seperti Sterling penting. Tidak ada apa yang berlaku terhadapnya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:10 AM