LOPETEGUI akui lega kerana masih ada Bale yang mempunyai penyudah berbisa. FOTO/FAIL
LOPETEGUI akui lega kerana masih ada Bale yang mempunyai penyudah berbisa. FOTO/FAIL
Reuters

TALLINN: Jurulatih Real Madrid, Julen Lopetegui yakin penyerang Wales, Gareth Bale mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Juventus.

Ronaldo beralih haluan ke Juventus Julai lalu dan Real belum menandatangani pemain sebagai penggantinya tetapi Bale dillihat alternatif terbaik selepas meledak dua gol ketika aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool, Mei lalu.

“Kami gembira kerana Bale masih bersama pasukan. Dia sangat bermotivasi tinggi serta harapan besar diletakkan di bahunya.

“Bale sudah bekerja keras sejak awal musim ini,” kata Lopetegui.

“Dia seorang pemain yang sangat profesional dengan keinginan begitu tinggi. Kami percaya dia akan melalui musim yang cemerlang,” tambahnya.

Lopetegui berkata beliau sudah pun membuat keputusan sama ada akan menurunkan penjaga gol yang baru ditandatangani, Thibaut Courtois atau Keyor Navas untuk perlawanan bertemu Atletico Madrid bagi perebutan Piala Super Europa.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol itu akan mengendalikan perlawanan pertama Real selepas menggantikan Zinedine Zidane yang mengundur diri musim lalu selepas berjaya membimbing pasukan memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ketiga.

"Zidane melakukan tugas dengan cemerlang tetapi semua itu sudah berlalu.

“Kami akan terus memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan dan bekerja keras untuk meraih lebih banyak kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 10:26 AM