Stockholm: Tanpa Zlatan Ibrahimovic untuk dua perlawanan berturut-turut, Sweden bergelut untuk memanfaatkan peluang diperoleh, namun masih mampu menewaskan Liechtenstein, 2-0 dalam saingan Kumpulan G kelayakan Euro 2016 di Friends Arena, pagi semalam.

Ketika Ibrahimovic diletakkan di bangku simpanan kerana dibayangi kecederaan tumit berterusan, Sweden menghabiskan separuh masa pertama dengan sejumlah hantaran silang dan cubaan ke arah Cengiz Bicer di gawang Liechetenstein, namun pelawat tetap ampuh bertahan.

Pemain sayap Emil Forsberg berjaya menewaskan Bicer selepas menahan bola menggunakan dada dalam kotak penalti untuk melepaskan rembatan yang menggegar gawang, namun ia tidak disahkan kerana ofsaid.

Mana-mana serangan yang dilancarkan pelawat tidak bertahan lama dengan tuan rumah pantas merampas bola dan mengucar-kacirkan pertahanan Liechtenstein.

Erkan Zengin akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-34 menerusi jaringan keduanya dalam tiga aksi kelayakan apabila rembatannya terkena pemain pertahanan dan melepasi jangkauan penjaga gol untuk menerjah gawang dan dia kemudian berlari ke bangku simpanan untuk meraikannya bersama Ibra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:10 AM