Ardini Sophia Sina

Aktres jelita, Felicity Jones buat kali pertama tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Oscar 2015, menerusi persembahan sungguh meyakinkan dalam filem The Theory of Everything.

Walaupun sekadar tersenarai dalam lima terbaik, ia adalah pencapaian paling besar pernah diperoleh pelakon berusia 32 tahun ini.

Sepanjang tahun ini, pelakon kelahiran Birmingham, England ini akan muncul dalam tiga filem iaitu A Monster Calling, Inferno dan Rogue One: A Star Wars Story.

Dinilai daripada setiap naskhah filem dibintangi, ramai menjangkakan aktres yang mula berlakon pada usia 12 tahun menerusi filem The Treasure Seekers mempunyai peluang besar untuk tampil lagi di pentas Oscar. Ketiga-tiga karya itu juga berbeza jika dibandingkan dengan filem yang pernah dilakonkan sebelum ini.

Menerusi filem A Monster Calling, Felicity membawa watak ibu. Menerusi Inferno dia menjadi wanita yang menyelesaikan misteri purba. Dan paling menarik wataknya sebagai Jyn Erso dalam Rogue One: A Star Wars Story.

Selalunya, anak seni kelahiran England lebih gemar beraksi dalam filem menonjolkan era Victoria. Bagaimanapun, tiga filem dibintangi Felicity itu tidak mempunyai sebarang unsur-filem epik.

Memberikan komen mengenai perkara itu, kata Felicity, dia sangat gembira kerana tiga filem dibintangi untuk tahun ini tidak memerlukannya memakai korset.

“Elemen aksi dalam Rogue One: A Star Wars Story dan Inferno adalah perkara baru buat saya. Pernah saya terseksa lebih enam jam kerana memakai korset. Sebaliknya, dalam dua filem terbabit, saya mengalami kecederaan ringan sewaktu melakonkan babak aksi,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai karakter dijayakan dalam A Monster Calling, ujar Felicity, dia menjadi Lizzie, ibu kepada seorang anak lelaki.

“Lizzie menghidap penyakit misteri tetapi masih kuat untuk melindungi anaknya. Dia enggan mengakui hakikat sebenar menimpa dirinya. Dia lebih rela menanggung kesakitan daripada menerima realiti,” katanya.

Cabaran besar dirasakan pelakon jelita itu apabila dia harus beraksi di samping aktor berpengalaman dan berpengaruh iaitu Tom Hanks dalam Inferno.

Sudah tentu dia berasa sangat gemuruh pada permulaan penggambaran filem itu dijalankan. Perkara itu diluahkan sendiri oleh Felicity.

“Saya rasa semua pelakon baru pasti gemuruh apabila digandingkan dengan pelakon kelas A. Bagaimanapun, sebelum memulakan penggambaran, kami terlebih dahulu mengadakan sesi latihan.

“Ketika berada di lokasi, saya dan Hanks serta pelakon lain sudah serasi. Saya tidak hanya gerun berlakon dengan Hanks, juga bimbang tidak dapat memberikan komitmen tinggi dalam filem bajet besar itu,” katanya.

Bercerita mengenai perasaannya apabila membintangi satu lagi filem bajet besar iaitu Rogue One: A Star Wars Story, jelasnya, dia harus mendepani masalah lewat datang ke set penggambaran sepanjang proses pembikinan filem itu dijalankan.

“Menepati masa adalah kelemahan saya. Namun, sepanjang pembikinan filem itu, saya tiba lebih awal di lokasi agar dapat membuat persiapan,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai dakwaan Rogue One: A The Star Wars Story harus menjalani penggambaran semula atas beberapa masalah timbul, jelasnya, ia adalah perkara biasa.

“Itu antara cara untuk memperbaiki kualiti filem. Kadangkala hanya penggambaran selesai dijalankan barulah pengarah memperoleh idea baru. Menyuntik idea itu bermakna semua orang harus bekerja semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:04 AM