DONNIE Yen sebagai pahlawan buta Chirrut Imwe.
DONNIE Yen sebagai pahlawan buta Chirrut Imwe.
Michelle Gun


Pengumuman bintang hebat Hong Kong, Donnie Yen membintangi filem Rogue One: A Star Wars Story yang bakal ditayangkan pada 15 Disember ini membuatkan peminatnya teruja.

Bagaimanapun, bintang filem IP Man itu mendedahkan hampir menolak tawaran terbabit kerana enggan berjauhan dengan keluarga apabila perlu menjalani penggambaran selama lima bulan di London.

Dalam temu bual bersama majalah JetSet, Yen berkata, dia bersetuju membintangi filem terbaru Star Wars itu selepas melihat reaksi positif tiga anaknya.

“Anak-anak teruja ketika saya minta pendapat mereka mengenai tawaran ini,” katanya yang melakonkan watak pahlawan buta Chirrut Imwe.

Pelakon berusia 53 tahun itu turut bekerjasama dengan pengarah Gareth Edwards mengembangkan karakter Chirrut, malah mencadangkan menjadikan watak itu cacat penglihatan.

“Apabila produksi mengupah saya, mereka bukan saja mendapat seorang pelakon, tetapi juga koreografer dan pengarah,” katanya.

Berpuas hati dengan sumbangannya dalam Rogue One, Yen teruja apabila watak Chirrut akan diabadikan dalam bentuk mainan popular Lego.

Dalam perkembangan lain, pelakon China, Jiang Wen pada sidang media Rogue One di London yang berlangsung pada Julai lalu tidak sengaja mendedahkan nasib Chirrut.

Menurut laporan South China Morning Post, Jiang Wen yang melakonkan watak Baze Malbus mendedahkan Chirrut mempercayai kuasa Force, namun meninggal dunia ketika berjuang.

“Baze dan Chirrut rakan baik. Baze tidak percaya dengan Force, namun dia berpura-pura kerana mahu turut serta dalam misi penting. Selepas Chirrut mati, Baze berpeluang melakukan sesuatu yang hebat,” katanya.

Yen bagaimanapun menafikan perkara itu ketika diwawancara wartawan South China Morning Post baru-baru ini.

“Saya perlu menonton semula rakaman sidang media itu sebelum boleh mengesahkannya.

“Apapun, jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan sehingga menyaksikan sendiri filem ini,” katanya.

Selain Rogue One, Yen juga bakal beraksi dalam sekuel XXX: The Return of Xander Cage yang menampilkan bintang popular Vin Diesel pada tahun depan.

Dengan pembabitannya dalam dua filem mega itu, Yen dijangka mengikut jejak bintang Bruce Lee, Jackie Chan dan Jet Li melakar nama di Hollywood.

Rogue One yang dijangka meraih kutipan pecah panggung mengisahkan sekumpulan individu merancang mencuri Death Star. Watak antagonis Darth Vader juga muncul kembali dalam filem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 9:32 AM