ANGGOTA Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Jerangau - Jabur dekat Padang Kubu. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Jerangau - Jabur dekat Padang Kubu. FOTO IHSAN BOMBA
Rosli Ilham


TIGA beranak parah selepas treler membawa simen naiki terbabas ke dalam gaung di Jalan Jerangau-Jabur dekat Padang Kubu, Chukai pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, pemandu Wahab Muda, 64, bersama anaknya Muhammad Firdaus, 20, dan menantu, Nur Izzaty Syafika Yusli, 19 cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Cheneh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.18 pagi dan mengerahkan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya yang tiba setengah jam selepas itu mendapati kesemua mangsa tersepit di tempat duduk.

"Kami menghadapi kesukaran mengeluarkan mangsa berikutan kepala treler terbabit remuk teruk.

"Usaha menyelamatkan mangsa mengambil masa 40 minit," katanya.

Katanya, treler terbabit membawa muatan kira-kira 400 beg simen dari kilang simen di Bukit Sagu Kuantan dan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

" Setiba di lokasi kejadian, treler terbabit dipercayai terbabas dan terbalik yang menyebabkan kepala treler itu tercabut dan masuk ke dalam gaung.

Mohamad Hanif berkata, semua mangsa dibawa dengan ambulans ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 7:51 PM