Muhaamad Hafis Nawawi


Bukit Kayu Hitam: Pengembara solo bermotosikal, Anita Yusof, 49, yang menunggang lebih 65,000 kilometer selamat tiba jam 10.45 pagi tadi sekali gus berjaya memenuhi impian menjadi wanita Islam Malaysia pertama mengelilingi dunia.

Ketibaan Pensyarah Sains Sukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, di sini, disambut kedua-dua anak lelakinya, Emiershah Iskandar dan Rudy Iskandar dan lebih 30 motosikal berkuasa besar.

Beliau berjaya membuktikan dengan hanya mengembara menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150i, berjaya menunggang lebih 65,000 kilometer apabila merentasi empat benua dan 40 negara sejak meninggalkan tanah air pada 10 September tahun lalu.

Antaranya negara dijelajahinya adalah Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica, Panama, Columbia, Equador, Peru, Bolivia, Chile, Argentina, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Portugal, Monaco, ltali, Croatia, Bosnia, Montenegro, Albania, Greece, Turki, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Russia, Mongolia dan Thailand.

Kejayaan kembara Global Dream Ride (GDR) itu dikongsi dalam majlis yang dianjur GIVI Asia.

Sementara itu, Anita berkata, dia berasa bertuah dapat kembali kerana beranggapan Malaysia negara bertuah yang perlu dijaga sampai bila-bila.

"Saya dah tengok macam-macam ketika mengembara dan dari situ, saya tahu kemakmuran Malaysia perlu dijaga. Biarlah hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri kerana Malaysia adalah negara terbaik.

"Matlamat saya untuk membetulkan persepsi berkaitan Islam juga tercapai kerana setiap kali berjumpa dengan masyarakat bukan beragama Islam saya akan menerangkan perkara sebenar supaya mereka memahaminya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selamat tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 3:31 PM
AKSI Anita Yusof ketika mengelilingi dunia menaiki motosikal secara solo. FOTO Bernama
AKSI Anita Yusof ketika mengelilingi dunia menaiki motosikal secara solo. FOTO Bernama