TINJAUAN pasaran hartanah pada separuh kedua 2022 dan separuh pertama 2023 dijangka kekal neutral.
TINJAUAN pasaran hartanah pada separuh kedua 2022 dan separuh pertama 2023 dijangka kekal neutral.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Parlimen baru-baru ini dijangka tidak menjejaskan pembelian rumah, kata Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk NK Tong.

"Saya rasa, mereka yang mahu membeli rumah akan meneruskan pembelian jika memenuhi keperluan. Kerajaan yang bagus akan melaksanakan dasar yang baik, menjadikan rumah mampu dimiliki oleh rakyat," katanya pada sidang media mengumumkan hasil kaji selidik terkini Rehda di sini, semalam.

Tinjauan pasaran hartanah pada separuh kedua 2022 dan separuh pertama 2023 dijangka kekal neutral, dengan belian dijangka berterusan membabitkan pembeli rumah pertama, demikian menurut Rehda.

Tong berkata, hasil Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2022 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2022 dan Separuh Pertama 2023 Rehda menunjukkan pembeli rumah pertama menguasai belian hartanah pada separuh pertama 2022 sebanyak 42 peratus.

"Sebahagian besar pembeli rumah juga membeli hartanah untuk didiami oleh mereka berbanding tujuan lain," katanya.

Hasil kaji selidik terkini Rehda membabitkan 150 ahli yang terdiri daripada pemaju perumahan menunjukkan 52 peratus responden bercadang untuk melancarkan projek pada separuh kedua 2022 membabitkan 7,459 unit hartanah bertanah, 7,224 unit kediaman strata dan 275 unit komersial.

Pelancaran masa depan itu akan membabitkan harga hartanah antara RM250,001-RM500,000.

Dari segi operasi perniagaan, responden menjangkakan kos menjalankan perniagaan keseluruhan dijangka kekal tinggi pada purata 17 peratus.

Tiga komponen kos utama menjejaskan aliran tunai ialah kos bahan binaan dan buruh, kos pematuhan dan kos tanah.

"Tinjauan kurang optimistik berbanding sebelum ini, tetapi ahli Rehda terus komited terhadap peranan membangunkan negara untuk manfaat rakyat.

"Meningkatkan harga jualan hartanah, menggunakan bahan jimat kos, reka bentuk inovatif dan marjin untung yang rendah adalah antara langkah yang dikemukakan responden untuk menangani peningkatan kos bahan binaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 7:10 AM