MISNAH (kiri) dan Md Yusof. FOTO Muhamad Allyme Ahmad Izam
MISNAH (kiri) dan Md Yusof. FOTO Muhamad Allyme Ahmad Izam
Mazizul Dani


Pasir Gudang: "Gembira... campur terharu. Mak cik dah tua macam ini... Alhamdulillah ini untuk keperluan hari-hari mak cik. Mak cik pun hidup dah seorang. Tak tahu nak cakap apa, terlalu gembira."

Itu luahan hati ibu tunggal Misnah Ansar, 64, yang sebak ketika ditanya mengenai Kotak Rezeki yang diterima sumbangan Harian Metro.

Dia antara 150 penerima barangan keperluan asas itu dalam Program Ibadah Korban di bawah Program Titipan Kasih Harian Metro sempena ulang tahun ke-25 akhbar ini, tengah hari tadi.

Seorang lagi penerima, Md Yusof Murad, 66, yang juga pesara kerajaan turut meluahkan rasa gembira selepas menerima sumbangan itu.

"Terima kasih banyak kepada Harian Metro kerana sanggup menyumbang kepada warga emas di sini.

"Kalau boleh diadakan setiap tahun kerana ini meringankan beban kami warga emas," katanya.

Majlis diadakan di Masjid An-Nur, Taman Cendana di sini dan disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

"Saya sangat terharu kerana sangat ramai penduduk dari Taman Cendana dan sekitarnya bersama-sama kami dalam program ini.

"Ini yang dikatakan bangsa Johor yang muafakat dan sentiasa menyokong kami sejak dulu lagi," katanya.

Terdahulu, 25 lembu disembelih sempena program berkenaan dan dagingnya diagihkan kepada 1,400 penduduk setempat.

Pengagihan daging turut dibuat menerusi pemberian kepada 10 surau dengan masing-masing menerima 50 bungkus daging untuk diagihkan kepada kariah masing-masing.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran 2,000 penduduk terdiri daripada kariah daripada 25 surau sekitar yang bersama-sama mengerjakan ibadah berkenaan.

Majlis diserikan dengan persembahan silat cekak daripada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia diikuti majlis makan tengah hari.

Program ini mendapat kerjasama Takaful Ikhlas, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jawatankuasa Perwakilan Persatuan Penduduk Taman Cendana dan Jawatankuasa Masjid An-Nur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 2:30 PM