MESSI (kanan) dikawal ketat pertahanan  Alaves Victor Laguardia.
MESSI (kanan) dikawal ketat pertahanan Alaves Victor Laguardia.
AFP

Madrid: Pendatang baharu Alaves mengejutkan juara Sepanyol Barcelona dengan kemenangan 2-1 di Nou Camp awal pagi semalam ketika pengurus Luis Enrique menerima padah kerana meletakkan Lionel Messi dan Luis Suarez di bangku simpanan.

Barca kini ketinggalan tiga mata berbanding Real Madrid di puncak liga selepas Cristiano Ronaldo mengambil masa hanya lima minit untuk menjaringkan gol sebaik kembali daripada kecederaan selama dua bulan sebelum menewaskan Osasuna 5-2 di Bernabeu.

Enrique membuat tujuh pertukaran daripada perlawanan terdahulu, menang 1-0 di Athletic Bilbao dua minggu lalu ketika Messi dalam proses pemulihan paha manakala Suarez masih berehat berikutan keletihan daripada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay.

“Ia bukan hari yang baik sejak mula, aksi kami tidak begitu mantap,” kata Enrique.

“Sewaktu serangan kami tidak begitu lancar, pertahanan kami juga lemah. Mereka melakukan tiga percubaan tepat dan menjaringkan dua gol.”

Pertukaran yang dilakukannya membawa padah apabila Barca gagal memecahkan pertahanan Alaves sebelum rehat babak pertama dan terus ketinggalan apabila Deyverson berjaya menyambut hantaran Kiko Femenia melepasi Jasper Cillessen pada penampilan pertamanya di Barca.

Neymar menjadi satu-satunya bintang ‘MSN’ Barca yang beraksi selaku kesebelasan utama dalam penampilan pertama musim ini selepas membawa Brazil menjulang emas Olimpik dan hampir menyamakan kedudukan apabila gagal menanduk tepat bola ke gawang lawan.

Pemain Brazil itu membantu jaringan bagi membolehkan Jeremy Mathieu menjaringkan gol penyamaan buat Barca dari sepakan sudut seminit selepas rehat dan pertahanan Perancis itu bagaimanapun gagal memanfaatkan gol yang tidak diawasi apabila sepakannya tersasar beberapa detik kemudian.

Messi dibawa masuk selepas sejam namun tuan rumah terus dikejutkan apabila Ibai Gomez memanfaatkan kepincangan pertahanan Barca untuk kembali meletakkan Alaves di depan.

Andres Iniesta dan Suarez turut dipanggil untuk trio “MSN” kembali bergabung buat kali pertama dalam tempoh empat bulan, namun gandingan mereka gagal memecahkan kekentalan kubu Alaves apabila Basques gagal meraih kemenangan pertama La Liga dalam tempoh sedekad.

“Kami gagal menemui kepantasan dan ketepatan yang kami perlukan pada detik yang tepat,” kata Iniesta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:17 AM