Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tergelincir di kedudukan 16 tidak menghalang pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) untuk mempamerkan tunggangan bertenaga bagi menamatkan saingan di tempat ketujuh perlumbaan Grand Prix San Marino semalam.

Hafizh dari PETRONAS Raceline Malaysia memulakan perlumbaan di petak 10 namun tergelincir di tempat ke-16 pada pusingan kedua selepas diasak Simone Corsi (Speed Up Racing) namun dia bangkit untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh kurang 13.048 saat dari Lorenzo Baldassarri (Foward Team) yang muncul juara.

“Saya berjaya mengekalkan masa terbaik di setiap pusingan selepas pusingan kedua walaupun mula mengalami masalah tayar di hujung perlumbaan. Bagaimanapun, saya gembira berjaya bangkit di tempat ketujuh,” katanya yang meraih sembilan mata.

Jelasnya, dia sentiasa berazam untuk memberikan aksi terbaik dalam baki lima perlumbaan lagi selepas ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 7:38 AM