HAFIZ (kiri) dan Ramdan Rosli pada majlis sidang media program pembangunan bakat PETRONAS, semalam.
HAFIZ (kiri) dan Ramdan Rosli pada majlis sidang media program pembangunan bakat PETRONAS, semalam.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peminat sukan permotoran negara bakal disajikan dengan tunggangan bertenaga pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menjelang Kejuaraan Motoasikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu mempunyai misi tersendiri untuk merampas semula kedudukan lapan terbaik keseluruhan yang dipintas Lorenzo Baldassarri (Forward Team) selepas berakhir saingan GP Australia di Litar Philip Island hujung minggu lalu.

“Saya tergelincir ke tangga kesembilan apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan di Australia namun saya berazam untuk merampas kembali tempat kelapan keseluruhan,” katanya kepada media selepas sidang media Program Pembangunan Bakat PETRONAS semalam.

Jelasnya, jika tidak berjaya, dia berazam untuk setidak-tidaknya mengekalkan kedudukan 10 pelumba terbaik keseluruhan apabila berakhir saingan musim ini.

“Saya masih mempunyai peluang untuk merampas kedudukan kelapan keseluruhan semula kerana hanya dibezakan enam mata dengan Baldassarri (112 mata). Apa yang perlu saya lakukan nanti di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) adalah menamatkan perlumbaan di depan pelumba berkenaan.

“Berdasarkan sesi latihan bebas di Australia minggu lalu, saya berjaya menamatkan saingan mengatasinya, jadi saya yakin mengulangi pencapaian berkenaan Ahad ini,” kata Hafizh Syahrin.

Sementara itu, pelumba wild card dalam kelas Moto2, Ramdan Rosli mahu membalas kepercayaan diberikan PETRONAS.

Dia yang diberi peluang menyertai perlumbaan secara wild card sebanyak tiga kali tahun ini sudah membuktikan hasil yang lebih positif berbanding tahun lalu.

Pada musim 2015, Ramdan yang beraksi sepenuh masa dalam perlumbaan CEV Repsol menamatkan perlumbaan GP Catalan di tangga ke-26 dan tahun ini menunjukkan kematangan dengan berada di tangga ke-19.

Pelumba PETRONAS AHM Malaysia itu turut mempamerkan tunggangan memberangsangkan di GP Australia minggu lalu dengan menamatkan perlumbaan di tangga ke-19 di Litar Phillip Island yang dianggap sukar daripada sudut cuaca.

“Pencapaian wild card saya tahun ini lebih bagus berbanding tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 12:04 PM