TERTUDUH (dua kiri ) dikenakan denda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen. FOTO Fathil Asri
TERTUDUH (dua kiri ) dikenakan denda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pemborong ayam dikenakan denda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan tidak mempunyai lesen pemborong ayam, Julai lalu.

Tertuduh, Teo Guan Hock, 41, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Bagi pertuduhan pertama, pemborong ayam itu dikenakan denda RM5,000, pertuduhan kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh menerusi perniagaan Paccu Or (M) Sdn Bhd di Lot 1192, Kampung Bekelam, Jelawat, dekat Bachok didakwa berniaga ayam hidup secara borong tanpa lesen kepada syarikat ADR Marketing di Kampung Pintu Gerbang, Tawang, Bachok, di antara 1 hingga 10 Julai 2016.

Pertuduhan kedua, dia didakwa kerana gagal mempamerkan lesen borong ayam di premis perniagaan di Berlian Telipot Trading, Lot 1047, Telipot, di sini, 11.50 pagi, 10 Julai 2016.

Pertuduhan ketiga, dia sebagai Pengarah perniagaan Paccu Or (M) Sdn Bhd didapati berniaga ayam hidup secara borong tanpa lesen kepada syarikat ADR Marketing di Kampung Pintu Gerbang, Tawang, dekat Bachok, antara 1 hingga 10 Julai 2016.

Kesalahan itu, tertuduh melanggar Peraturan 3(1) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 7 dan kesalahan mengikut Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Ayam) 1996 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta dan kesalahan kali kedua dan seterusnya didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 5:49 PM