JUARA Bintang RTM 2001 ajak berduet lagu 1000 Cinta.
JUARA Bintang RTM 2001 ajak berduet lagu 1000 Cinta.
Sudirman Mohd Tahir


Nama penyanyi ini mungkin masih asing bagi peminat di sini. Namun berbekalkan bakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu, karya Rizal Badila berjaya memikat hati penyanyi Azharina Azhar.

Ia sekali gus membuka ruang buat Rizal atau nama sebenarnya Samsul Rizal, 27, menghasilkan lagu duet berjudul 1000 Cinta dengan juara Bintang RTM 2001 itu.

“Saya mengenali Azharina menerusi kakak angkatnya yang ketika itu berkunjung ke Lombok pada Mei lalu. Sejak itu saya dan Azharina berhubung menerusi panggilan telefon dan perbincangan menjurus kepada muzik. Selepas itu, dia menjemput saya datang ke Malaysia.

“Memandangkan saya ada beberapa koleksi lagu sendiri, jadi saya memperdengarkannya kepada Azharina. Alhamdulillah, dia tertarik dengan lagu 1000 Cinta dan mengajak saya berduet.

“Ketika itu saya berasa sangat terharu dan bangga kerana tujuan asal mahu berkongsi mengenai muzik. Saya langsung tidak menyangka Azharina sudi menyanyi dengan saya,” katanya.

Berkongsi lanjut kerjasamanya dengan Azharina, Rizal kini bernaung di bawah Azharina Entertainment.

Syarikat itu bertanggungjawab menguruskan kerjaya dan persembahannya di sini.

Selain lagu itu, Rizal turut menghasilkan lagu untuk Ziana Zain sebagai hadiah ulang tahun penyanyi itu pada Mei lalu.

Rizal yang berasal dari Lombok Tengah, Indonesia turut terbabit dalam program Radical Starz Search anjuran Galaksi Muzik.

“Menerusi program ini, saya dipilih sebagai komposer dan juara iaitu Rose Ayu menyanyikan lagu ciptaan saya berjudul Berharap.

“Saya juga berpeluang berduet dengan Rose Ayu. Selain dapat menonjolkan bakat sebagai komposer, saya juga dapat mengetengahkan kelebihan sebagai penyanyi,” katanya.

Kembang bakat di Malaysia

Rizal yang mula aktif menyanyi pada 2012 mengakui Malaysia menjadi negara terbaik untuknya mengembangkan bakat.

“Saya mahu lihat sejauh mana kemampuan saya. Dengan adanya penerimaan yang baik daripada beberapa pihak di sini, saya semakin bersemangat untuk terus berkarya.

“Malah saya menganggap kerjasama dengan Galaksi Muzik dan Azharina sebagai permulaan yang bagus untuk saya mengembangkan lagi kerjaya di sini. Pada masa sama, saya dapat mempromosikan Lombok setiap kali mendapat jemputan menyanyi di sini.

“Di Indonesia saya sudah ada tempat dan peluang sentiasa terbuka luas. Apatah lagi sudah ada beberapa lagu saya hit di sana. Justeru ia bukan satu masalah besar,” katanya.

Rizal yang bertandang di Kuala Lumpur baru-baru ini turut mempromosikan mini album berjudul Harapan memuatkan tiga lagu iaitu Pulau Lombok, Berharap dan Tertipu.

“Insya-Allah saya kini dalam proses menerbitkan album pertama. Kesemua koleksi lagu yang ada akan dimuatkan dalam album ini.

“Menariknya, semua video muzik lagu dalam album ini menjalani penggambaran di Pulau Lombok. Jadi mereka yang menontonnya nanti dapat melihat keindahan pulau itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 5:00 AM