Penternak menunggu pelanggan membeli haiwan untuk dijadikan korban menjelang Aidiladha. FOTO Middle East Monitor
Penternak menunggu pelanggan membeli haiwan untuk dijadikan korban menjelang Aidiladha. FOTO Middle East Monitor
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera Israel tergamak menembak haiwan ternakan sebelum Aidiladha bagi menghalang penduduk Gaza melaksanakan ibadah korban.

Hasrat penduduk Gaza untuk berkorban akhirnya terbantut selepas mendapati kambing mereka mati.

"Penjajah di Gaza membunuh binatang, memburukkan lagi keadaan kebuluran di wilayah utara dan mengurangkan bekalan biri-biri untuk Aidiladha," tulis akaun Instagram, Eye on Palestine.

Sebelum itu, Israel melarang kemasukan haiwan korban ke Gaza.

Larangan itu menyebabkan ratusan ribu keluarga di Semenanjung Gaza tidak berpeluang menyambut Aidiladha dan melakukan ibadah korban, kata agensi media Gaza.

Agensi itu berkata, pasukan penjajah Israel melakukan jenayah baharu dengan menghalang kemasukan haiwan korban apabila menutup semua laluan Gaza termasuk sempadan Rafah dan lintasan Kerem Shalom.

Mereka menggelar larangan ini sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan yang tidak menghiraukan nilai kemanusiaan dan Islam.

"Tanggungjawab moral dan undang-undang memerlukan campur tangan serius daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan menghentikan pencabulan hak dan hak asasi umat Islam secara terang-terangan.

"Israel dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab sepenuhnya dalam meneruskan jenayahnya terhadap Islam dan rakyat Palestin," kata pejabat itu.

Di sebalik pelbagai sekatan Israel, seramai 40,000 umat Islam tetap menunaikan solat Aidiladha di Masjid Al-Aqsa, Ahad lalu.

Namun, mereka menyambut perayaan itu dengan meratapi mangsa perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza selama lebih lapan bulan, lapor agensi berita Anadolu.

Agensi berita Palestin WAFA melaporkan, pasukan penjajah (Israel) menyerang jemaah yang dalam perjalanan ke Masjid Al-Aqsa pagi Ahad lalu sekali gus menghalang puluhan orang menunaikan solat.

"Pada awal pagi, pasukan penjajah memasuki halaman Masjid Al-Aqsa, memeriksa identiti jemaah, menghalang pergerakan mereka dan menghalang ramai pemuda daripada masuk sehingga memaksa mereka solat di luar pintu masjid," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Wakaf Hebron, Ghassan Al-Rajabi memberitahu Anadolu, kira-kira 8,000 hingga 10,000 rakyat Palestin

menunaikan solat Aidiladha di Masjid Ibrahimi di Hebron, selatan Tebing Barat.

Jemaah perlu melalui pusat pemeriksaan tentera sebelum pintu elektronik untuk memasuki Masjid Ibrahimi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:32 PM