EMY (kanan) perlu jalani pembelajaran sama rata sebaik sertai akademi. Reshma (tengah) antara yang menampilkan persembahan mengagumkan.
EMY (kanan) perlu jalani pembelajaran sama rata sebaik sertai akademi. Reshma (tengah) antara yang menampilkan persembahan mengagumkan.
Georgie Joseph


Program realiti terkenal, Akademi Fantasia 2016 (AF2016) menambah seorang pelajar baru iaitu Emy, 23, di akademi selepas Halmy, Isa dan Rais disingkirkan minggu sebelumnya.

Pada konsert minggu ketiga kelmarin, Emy atau nama penuhnya Zarul Hilmi Badrul Hisam dari Sabah dipilih selepas menjuarai program JoHaRockStar 2016.

Kehadirannya sekali gus memberi saingan sengit kepada 11 pelajar lain iaitu Amir, Ikram, Zarol, Amal, Riana, Asha, Afi, Jasper, Ara, Rahila dan Reshma selepas tiada penyingkiran dibuat pada konsert berkenaan.

Menurut Pengetua AF2016 Datuk Shake, pemilihan Emy dilihat cukup tepat kerana akademi mengalu-alukan peserta lelaki selepas penyingkiran tiga peserta lelaki sekali gus pada konsert minggu kedua.

“Kami memutuskan mengambil Emy daripada lima nama yang dicadangkan bukan saja kerana jantinanya tetapi potensi bakatnya. Bagi

kami dia unik dan paling menarik adalah suaranya,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak wujud unsur pilih kasih memandangkan Emy sudah ketinggalan daripada segi pembelajaran.

“Emy kena menjalani pembelajaran yang sama rata sebaik dia menyertai akademi. Kami akan bantu dia seperti peserta lain namun terpulang kepada usahanya sendiri juga mahu mengejar yang lain.

“Secara peribadi saya sudah meneliti tahap kemampuannya dan akan melakukan sesuatu daripada aspek vokal. Selebihnya, dia kena berguru dengan tenaga pengajar sama rata dengan yang lain,” katanya.

Apa yang pasti, AF2016 meneruskan konsep melahirkan penghibur serba boleh. Shake berpendapat peserta perlu bijak menggunakan kemampuan nyanyian untuk menakluk sesebuah lagu biarpun di luar genre kesukaan mereka.

“Pelajar tahun ini menarik kerana masing-masing memiliki tona suara yang agak unik. Apabila dapat lagu yang menjadi ‘makanan’ mereka, tentu sekali kemampuan vokal lebih terserlah.

“Bagaimanapun, AF2016 adalah landasan melahirkan penghibur ‘all rounder’ yang mampu melakukan semua genre. Maka, dalam konteks ini, pelajar kena betul-betul mengenali suara mereka dan belajar memanipulasi lagu,” katanya.

Pelajar semakin bagus

Meskipun baru masuk konsert ketiga, beberapa pelajar sudah menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Bahkan, ada yang dilihat berpotensi bergelar juara.

Jasper misalnya berjaya memperbaiki persembahan selepas berjaya mendendangkan Joget Kelantan nyanyian asal Nora dengan baik. Pelajar kacukan Cina-India itu mendapat pujian daripada juri jemputan Datuk AC Mizal.

Begitu juga Afi yang cukup selesa di pentas mendendangkan lagu Kurik Kundi (Datuk Siti Nurhaliza). Menjadi pelajar pertama membuat persembahan, Afi tampak selesa di atas pentas.

Amir pula tidak dinafikan menjadi kegilaan gara-gara pakejnya yang comel dan suara boleh tahan mendendangkan Biso Bonar (Datuk Hattan). Namanya antara yang kini menjadi sebutan berpotensi besar menjadi juara.

Pada konsert itu Reshma juga tidak mengecewakan dan mendapat ‘standing ovation’ daripada AC selepas menawan penonton dengan membawakan lagu Ex’s & Oh’s (Elle King).

Malam itu, Ikram menyanyikan lagu Hapus Aku (Nidji), Zarol (Cinta Dan Air Mata - CRK), Amal (Bidadari - Lela), Riana (Melompat Lebib Tinggi - Sheila On 7), Asha (Hangatnya Cinta - Liyana), Ara (Robek Hatiku - Mas Idayu),dan Rahila (Dangdut Raggae).

Diacarakan Alif Satar dan Zizan Razak, Awie ditampilkan sebagai juri jemputan pada minggu itu selain kumpulan Estranged menutup acara dengan lagu Hancur Aku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:08 AM