SHAKE harapkan kritikan telus lagi jujur demi kebaikan pelajar AF.
SHAKE harapkan kritikan telus lagi jujur demi kebaikan pelajar AF.
Sudirman Mohd Tahir


Setiap kali muncul musim terbaru program realiti popular Akademi Fantasia (AF), antara paling menarik perhatian adalah pengetua.

Siapa yang bakal mengisi kekosongan ‘kerusi panas’ itu sering menjadi persoalan kerana ia tonggak utama sepanjang sesi pembelajaran peserta di akademi.

Ternyata pengumuman penyanyi Datuk Shake yang popular menerusi lagu Anugerah Dari Kegagalan dan Umi ini sebagai Pengetua AF2016 disambut baik banyak pihak.

Pengalaman menyanyi selama 40 tahun dalam industri seni tempatan dan luar negara memberi banyak kelebihan kepadanya.

Namun, ada juga suara sumbang mempertikai kredibiliti Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad yang dilihat kurang memberi sumbangan kepada industri seni tanah air.

Bersama wartawan Sudirman Mohd Tahir, ikuti temu bual dengan penyanyi yang mula mencipta nama di Perancis pada 1976 ini.

HM: Apa komen apabila timbul perdebatan mengenai kelayakan Datuk sebagai Pengetua AF 2016?

Shake: Kerjaya seni saya bermula di luar negara sebelum mencipta nama di negara sendiri. Jadi ia penghargaan terbesar saya. Bagi saya bukan mudah untuk seseorang penyanyi mendapat peluang begini. Justeru, kalau ada pihak yang sengaja ingin mempertikai atau tidak menghormati keputusan produksi, itu di luar bidang kuasa saya. Mereka ada hak untuk bercakap. Paling penting saya sedikit pun tidak ambil pusing. Asal saja saya menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

HM: Apakah misi dan sasaran Datuk buat peserta musim kali ini?

Shake: Ini adalah pertandingan nyanyian. Sudah pasti apabila tamat musim ini mereka ingin menyanyikan lagu sendiri. Jadi, sebagai pengetua saya perlu pastikan perkara ini menjadi kenyataan. Apa yang dipelajari sepanjang berada di akademi mereka perlu amalkan apabila bergelar penyanyi sebenar nanti. Daripada semua peserta, saya dapati tiga daripada mereka ada potensi besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa. Sejajar dengan misi yang dibawa, saya akan berusaha dan cuba membantu mereka.

HM: Sejauh mana penerimaan Datuk dengan teguran dan kritikan daripada pengkritik terhadap pelajar musim ini?

Shake: Saya terbuka menerima setiap teguran. Lagipun, saya mengenali dan mengetahui cara kerja Datuk Ramli MS serta Datuk AC Mizal. Saya yakin setiap komen mereka bertujuan membantu peserta supaya dapat meningkatkan mutu persembahan. Tambahan pula, kebanyakan yang diperkatakan itu saya terlebih dahulu menegur pelajar di dalam kelas.

HM: Nampaknya Datuk bekerja keras bagi memastikan peserta musim kali ini lebih berkualiti daripada sebelumnya?

Shake: Saya memang jenis yang bekerja keras. Menjadi Pengetua AF adalah cabaran buat saya. Disebabkan itu saya buang ego semata-mata membolehkan saya bekerja dengan suasana dan persekitaran baru. Saya nak menjadikan setiap apa yang dirancang menjadi realiti. Seboleh-bolehnya pada setiap minggu saya dan tenaga pengajar mahu memerah otak memikirkan siapa yang sepatutnya tersingkir berdasarkan mutu persembahan. Justeru saya mengharapkan kritikan yang telus dan jujur.

HM: Selepas dua minggu bersiaran, sejauh mana penilaian Datuk mengenai vokal setiap peserta?

Shake: Berdasarkan pemerhatian saya daripada minggu pertama sehingga kedua, 80 peratus peningkatan ditunjukkan. Bagi saya ia satu perkembangan yang bagus. Sebabnya mereka mahu berubah dan menunjukkan peningkatan. Saya selalu berpesan, kritikan yang diberikan perlu diambil kira. Walaupun terdapat kritikan yang saya kurang bersetuju, saya dan tenaga pengajar lain tidak boleh pandang remeh. Memandangkan mereka masih terlalu baru, jadi masih banyak yang perlu dipelajari. Jangan samakan mereka dengan penyanyi profesional sedia ada.

HM: Berbekalkan pengalaman selama 40 tahun, bagaimana Datuk mahu mempraktikkannya untuk tempoh lapan minggu ini?

Shake: Saya beri fokus kepada jiwa dan perasaan. Dua perkara ini bukannya mudah. Oleh itu, setiap peserta tidak boleh leka. Pada masa sama, saya menitikberatkan semua perkara membabitkan persembahan terutama pemilihan lagu, pemuzik, gubahan muzik, tarian, pakaian, persembahan pentas dan banyak lagi. Sekiranya ada yang kurang dari segi muzik, saya akan minta Edry mengubahnya. Saya percaya mahu merealisasikannya dalam tempoh lapan minggu belum tentu boleh. Namun, saya dan tenaga pengajar lain sentiasa mencuba sehabis baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 10:49 AM