Misha Omar.
Misha Omar.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Tanda pagar #menjejakkhadeja digunapakai penyanyi terkenal Misha Omar yang kini dalam usaha mendapatkan anak kedua.

Misha, 39, berkata, dia sudah memulakan rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan dengan melakukan langkah pertama iaitu membuat ujian hormon Anti-Mullerian (AMH) bagi mengetahui tahap keseuburanya sebelum meneruskan rawatan yang sesuai.

"Tanda pagar ini saya saja gunakan sebagai doa yang akan menjadi penguat semangat untuk mencari anak perempuan kami. Di setiap proses yang saya jalani, saya akan kongsikan juga ilmu pengetahuan yang saya dapat dengan semua. Semoga doa daripada semua mengiringi saya. Malah, boleh juga dijadikan inspirasi pada yang dalam usaha mendapatkan zuriat atau 'trying to conceive' (TTC) juga.

"Seperti yang semua orang tahu, saya sedang mencuba untuk mendapatkan ahli keluarga baru sejak tahun lalu lagi. Tahun ini lebih serius dan saya sedar di usia sekarang kena lebih rapi persiapannya. Sebab itu saya ada minta nasihat daripada Dr Azrai juga kenalan lama dan lkenalan ahli keluarga kerana mudah untuk kami berbicara," katanya.

Menurut Misha, keputusan ujian akan keluar dalam tempoh tiga minggu menerusi 'sample' darah yang diambil.

Mengenai tanda pagar itu, Misha berkata ia bukan nama untuk bakal cahaya mata keduanya jika dikurniakan rezeki itu.

"Kenapa Khadeja? Sebab saya berharap dan berdoa mudah-mudahan cahaya mata yang akan Allah anugerahkan adalah bayi perempuan. Tapi kalau nanti dikurniakan bayi lelaki pun tak apa. Orang kata permulaan ini yang akan menyempurnakan perjalanan itu. Jadi, saya doa dari sekarang mudah-mudahan Khadeja. Nama ini bukan kekal untuk bayi perempuan nanti, jika diberikan rezeki. Ia sekadar nama saja. Tak tahu nak beri nama apa dan itu saja yang terlintas di kepala," katanya.

Sebelum ini Misha mempunyai seorang anak angkat lelaki bernama Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia 15 tahun.

Misha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Muhammad Idris Ezzwa, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 4:20 PM