PENCAHAYAAN penting dalam menata hias kafe mahu pun restoran.
PENCAHAYAAN penting dalam menata hias kafe mahu pun restoran.
WARNA perlu dipadankan dengan kesesuaian tema kafe.
WARNA perlu dipadankan dengan kesesuaian tema kafe.
Faizal Zain

Salam deko. Masih dalam perkongsian panduan mengenai dekorasi kafe atau restoran sebagai pelengkap daya tarikan pelanggan. Dua elemen penting sudah dibincangkan iaitu tema dan pemilihan perabot. Minggu ini pula, kita membincangkan mengenai pencahayaan dan warna.

Warna

Tahukah anda, warna sangat penting dalam setiap sentuhan dekorasi. Warna bukan sahaja menzahirkan suasana tertentu, malah dapat membangkitkan mood dan mengubah persepsi sekeliling.

Warna perlu dipadankan dengan kesesuaian tema kafe. Dalam perniagaan makanan ala Barat umpamanya, warna asas bumi atau lebih dikenali sebagai ‘earth tone sceme’ sangat dekat dan kelihatan sebagai penyatuan yang sebati.

Jika restoran anda menyajikan masakan ala Barat, warna seperti coklat muda, coklat gelap dan hitam dilihat berupaya menyerlahkan suasana dan bersesuaian dengan tema hidangan.

Bagi sajian makanan ala Nusantara pula, hijau dilihat sebagai warna serasi dan seiring tema masakan. Sebaliknya, jika anda menyajikan menu masakan Thai, warna merah dan oren dapat menterjemahkan hidangan tomyam yang pedas dan lazat.

Dalam satu kajian yang dijalankan, merah dan kuning menarik minat kanak-kanak. Jadi ia sesuai dijadikan warna tema jika kafe anda menyajikan hidangan khusus buat kanak-kanak termasuk wafel, aiskrim, ‘hot dog’ dan bertih jagung. Tahukah anda, kebanyakan restoran makanan segera berlumba-lumba menggunakan merah dan kuning kerana warna ini begitu mudah menarik perhatian.

Pencahayaan

Pencahayaan begitu penting dalam menata hias kafe mahu pun restoran. Jika restoran anda memfokuskan hidangan seisi keluarga dan masakan Melayu, pencahayaan yang terang mampu memberikan keselesaan.

Sementara bagi yang memfokuskan hidangan ringkas dan tempat bersantai, teknik pencahayaan redup serta malap dilihat sebagai pilihan bijak. Ini kerana suasana sedemikian pastinya lebih romantik dan sesuai untuk bersantai sambil menikmati hidangan ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:01 AM