Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tahun depan bukan lagi masa untuk jurulatih beregu campuran negara, Jeremy Gan melakukan eksperimen, tetapi mencari siapa gandingan terbaik bagi mengumpul mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, sebelum tahun baru, beliau perlu menetapkan siapa gandingan utama kerana sudah tidak ada masa untuknya melakukan percubaan mencari pasangan terbaik buat Chan Peng Soon.

“Perkembangan Goh Liu Ying (gambar) pula semakin bagus di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN). Saya rasa kejohanan pertamanya tahun depan mungkin Terbuka Kuala Lumpur, bermula dengan saingan tempatan terlebih dulu. Saya tidak mahu dia beraksi di peringkat antarabangsa takut kecederaan lututnya berulang,” kata Jeremy.

Jelasnya, beliau masih belum pasti sama ada Liu Ying mampu kembali pada prestasi terbaik untuk bergandingan semula dengan Peng Soon seterusnya kembali menjadi pasangan beregu campuran negara yang paling digeruni.

“Dia memang mempunyai keinginan untuk kembali membentuk gandingan terkuat, kini terpulang kepada Liu Ying sama ada dia boleh berpasangan semula dengan Peng Soon seterusnya beraksi di Olimpik Rio.

“Sekurang-kurangnya satu pasangan beregu campuran negara harus layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio. Sekarang kita belum mempunyai pasangan terbaik walaupun saya pernah mencuba Peng Soon bergandingan dengan Ng Hui Lin dan Lai Pei Jing,” katanya.

Kata Jeremy, semuanya bergantung kepada tahap pemulihan kecederaan Liu Ying, jika tidak beliau perlu menggunakan pelan B.

“Saya lihat gandingan Peng Soon-Hiu Lin memang memberangsangkan, tetapi jika tidak menjadi, mungkin kita akan mengharapkan kembali Liu Ying.

“Saya perlu lihat tahap kecederaan dan pertimbangkan perkara ini semula kerana setakat ini Liu Ying adalah pemain beregu campuran terbaik negara, pemain lain belum sampai tahap memuaskan hati saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:02 AM