PENG Soon dan Liu Ying ketika beraksi menentang Soon Huat dan Shevon pada suku akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
PENG Soon dan Liu Ying ketika beraksi menentang Soon Huat dan Shevon pada suku akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengakui terpaksa ‘berperang’ dengan psikolgi biarpun berjaya mengatasi bekas rakan sepasukan, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, hari ini.

 

Peng Soon-Liu Ying membuktikan status sebagai beregu campuran nombor negara apabila menewaskan Soon Huat-Shevon 22-20, 22-20 dalam aksi suku akhir Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil.

 

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, berkata ia bukan perlawanan yang mudah untuk mereka memandangkan kedua-dua pasangan tahu corak permainan masing-masing.

 

“Berbanding menentang pasangan dari negara lain, berdepan rakan senegara lagi sukar. Sebab kami tahu strategi mereka dan mereka pun sama.

 

“Bermain menentang rakan senegara, memerlukan kami bijak mengatur langkah dan perlu mempunyai kekuatan mental yang tinggi...ia bagai peperangan psikologi,” kata Peng Soon selepas tamat perlawanan.

 

Pilihan ketiga kejohanan itu akan berdepan satu lagi ‘peperangan’ psikologi apabila membuat perhitungan dengan juara Seluruh England 2018 yang juga pilihan pertama dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino di separuh akhir, esok.

 

Peng Soon-Liu Ying bukan saja perlu menentang Watanabe-Higashino, tetapi mereka juga perlu berdepan jurulatih lawan mereka itu iaitu Jeremy Gan.

 

Jeremy adalah jurulatih yang bertanggungjawab membentuk gandingan Peng Soon-Liu Ying sebagai beregu campuran, ketika berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun dia meninggalkan badan induk itu pada hujung 2017.

 

“Ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar dan peperangan psikologi untuk kami. Jeremy sudah pastinya tahu dengan permainan kami, tetapi kami akan tetap buat persiapan terbaik bagi menghadapi aksi esok,” kata Peng Soon.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 7:36 PM