MENCUBA kit yang disediakan dengan tunjuk ajar tenaga kursus.
MENCUBA kit yang disediakan dengan tunjuk ajar tenaga kursus.
TENAGA akademik turut berbincang sebelum memulakan kursus.
TENAGA akademik turut berbincang sebelum memulakan kursus.
MENDENGAR penerangan diberikan.
MENDENGAR penerangan diberikan.
PELAJAR yang menyertai kursus bergambar kenangan.
PELAJAR yang menyertai kursus bergambar kenangan.
Ruhaiza Rusmin

Bagi menyahut cabaran dan menyuntik minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik ( STEM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE) menganjurkan siri kursus tenaga boleh baharu (renewable energy) khusus untuk pelajar sekolah menengah sejak tahun 2013.

Kursus itu antara usaha UniMAP untuk mengubah persepsi negatif pelajar terhadap STEM yang dianggap sukar selama ini.

Pensyarah PPKSE merangkap pengarah kursus, Melaty Amirruddin berkata program berkenaan menggunakan kit pembelajaran berteknologi tinggi sekali gus memberi keseronokan kepada pelajar.

“Dalam kursus ini, kami menggunakan kit pembelajaran berteknologi tinggi buatan Jerman yang membolehkan pengguna mempelajari dan mengamati uji kaji berkaitan tenaga solar dan angin.

“Modul uji kaji yang dilaksanakan adalah model ringkas daripada uji kaji sebenar yang dilaksanakan penyelidik di makmal UniMAP.

“Ini memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri selok-belok penyelidikan tenaga boleh baharu, selain memperkasa komponen sains dan matematik yang dipelajari di sekolah,” katanya.

Program yang pada asalnya disasarkan untuk pelajar sekitar Perlis saja, namun perluaskan ke seluruh negara, membabitkan sejumlah 1,500 pelajar pada tahun lalu.

Menariknya, program ini bukan sahaja mengguna pakai sumber tenaga pengajar terlatih dalam kalangan pensyarah, namun turut menggembleng tenaga pegawai latihan vokasional dan juruteknik UniMAP.

Seramai 40 tenaga pengajar terbabit sepanjang kursus ini, mendedahkan peserta kursus gambaran keseluruhan berkenaan tenaga boleh baharu dan kepentingan dalam menjana sumber tenaga yang lestari.

Program yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi inisiatif ‘Knowledge Transfer Programme’ (KTP) ini juga dalam perancangan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak untuk edisi 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 11:06 AM